Anak-Anak Merantau Cari Ilmu, Mak Ayah Kena Bekalkan Tiga Pesanan Ini

Anak-anak akan semakin membesar dan bila tiba saatnya, mereka akan meninggalkan rumah untuk keluar merantau mencari ilmu.Mungkin menyambung pelajaran universiti, kolej kemahiran dan sebagainya.

Tentu sekali saat ini, hati mak ayah akan dilanda kerisauan kerana anak-anak jauh dari mata dan pemantauan. Ibu bapa menunggu risau dan takut dengan kemungkinan datangnya musibah yang tak kelihatan.

Anak-Anak Merantau Cari Ilmu, Mak Ayah Kena Bekalkan Tiga Pesanan Ini

ANAK TERKEJUT DENGAN ‘DUNIA’ BARU

Anak perempuan mula terkejut melihat maksiat di depan mata, mula-mula asing lama kelamaan menjadi nikmat yang tak disangka-sangka.

Anak lelaki apatah lagi, bagai bebas lepas dari penjara. Apa saja kejahatan mula dicuba dengan nafsu yang membuak-buak dahaganya. Anak kita bagaimana, selamatkan mereka dari kejutan budaya?

Perubahan adalah normal dalam kehidupan, anak perlu ditemani belajar beradaptasi dengan lingkungan yang baru. Apakah bekalan yang paling diperlukan anak di perantauan?

ILMU AGAMA

Kebahagiaan dunia dan ketenangan jiwa hanya dapat dirasai dengan menghadam ilmu agama sebanyak mungkin. Bukan untuk mengejar gelar ustaz dan ustazah tapi untuk mencari hidayah Allah.

Mungkin sewaktu di rumah, kita belum sempat menanamkan nilai agama yang cukup, tak sempurna bekalkan iman yang kuat hingga berakar dalam hatinya. Masihkah ada peluang untuk anak kita memiliki ciri-ciri pemuda yang dirahmati Allah dengan naungan-Nya, seperti dalam hadis ini?

Tujuh orang yang akan diberi naungan Allah pada hari yang tiada naungan lain selain naungan-Nya; (salah satunya) pemuda yang membesar dalam keadaan suka beribadah kepada-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak kita membesar dalam kelalaian atau keinsafan? Dalam pencarian ilmu atau pencarian nafsu yang tak pernah puas? Jangan lepaskan dia sendirian melawan segerombolan syaitan yang menyesatkan, kasihan sungguh anak yang bermusafir tanpa iman dan ilmu.

IKLAN

Baca artikel lain di sini:

“Alhamdulillah Saya Selamat Melahirkan Anak Perempuan” Bersyukur Faye Kusairi & Bayinya Sihat

Menjadi Impian Setiap Wanita Berkahwin, Jangan SALAHKAN Dia Tidak Dikurniakan ZURIAT

BEKAL ANAK DENGAN PERSIAPAN SECUKUPNYA

Bayangkan kalaulah diumpamakan dia berperang tanpa bekal senjata melawan musuh yang kuat menghunus pedang yang merobek jasadnya tentu kita rasa amat berdosa dan menyesal sebagai ibu bapa yang lepas tangan.

Walaupun ibu bukan ustazah sekurang-kurangnya tolong transfer ilmu dan nasihat untuk meyakinkan cahaya mata kita tentang suatu isu berkaitan kehidupannya. Ibu perlu bekalkan ayat-ayat al-Quran yang indah dan mudah difahami untuk menjawab masalah yang sedang dihadapi anak. Ada kalanya mereka bertukar buku, nasihat agama, ceramah dan video yang membangkitkan keinsafan. Akhirnya ilmu agama itu boleh menjaga mereka dari sebarang gangguan iman.

Sebagaimana sabda baginda s.a.w: “Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu.” (Hadis al-Tirmizi)

IKLAN

SIFAT EMPATI

Jangan bosan mencari khabar berita cahaya mata kita, memerhatinya dari kejauhan, memata-matai gerak geri, menelusuri jejak media sosialnya, berkenalan dengan kawan-kawannya, mencari tahu siapa dia di mata gurunya. Jadi kawan baik tempatnya meluah perasaan, penuhi keperluan bukan hanya jasad juga emosi mereka. Jangan jadi ibu yang tidak berempati, ibu sebegini umpama mayat hidup yang berjalan, ada dan tiada tidak dirasai.

Empati seorang ibu berfungsi apabila dia mampu mengajarkan zuriatnya mengenal dan mengawal emosi, memahami perasaan orang lain, hormat pada diri sendiri, menghargai pandangan yang berbeza, menjadi peribadi yang penuh kasih sayang, bukan mudah mendidik zuriat kita berempati jika ibunya sendiri tidak berempati.

Si ibu bersikap sinis dan prejudis apabila anak cuba meluah rasa. Akhirnya ibu dianggap sebagai orang asing, tidak mesra atau pilih kasih.

Sifat empati merupakan rahsia untuk tundukkan jiwa seseorang, ia juga tanda kita dirahmati Allah sebagaimana firman-Nya: “Disebabkan rahmat Allahlah kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, sudah tentu mereka akan menjauhkan diri dari kamu.” (surah Ali Imran ayat 159)

SEIMBANGKAN KEJAR SYURGA DUNIA DAN AKHIRAT

Cahaya mata kita yang merantau jauh mencari ilmu kadang tersandung batu di tengah jalan, tersungkur akibat pergaulan. Bila sudah jatuh lupalah segala cita-cita, putus asa saja yang tersisa. Ibu dan ayah mesti berjaga-jaga agar matlamat utama anak tidak dilupakan.

IKLAN

Setiap kali bercakap dan berjumpa ingatkan balik cita-cita mereka. Jalan mana yang mesti ditempuh, suntikan apa yang berkesan memberi motivasi agar dia kembali bertenaga. Ingatkan dia untuk pulang membawa kejayaan dunia sekali gus akhirat.

Malang sungguh jika ibu bapa memulaukan zuriat sediri akibat gagal dalam peperiksaan, tetapi tidak risau sama sekali jika dia gagal solat dan adab. Sahsiah sempurna dunia akhirat menjadi impian teragung ibu dan ayah, betapa kemuliaan akhlak semakin diketepikan kerana terlalu rakus mengejar kegemilangan dunia.

LETAKKAN SYURGA MATLAMAT AKHIR

Menjadi seorang perantau ilmu amat mencabar, oleh itu anak perlu diingatkan untuk meletakkan syurga sebagai matlamat akhir dalam pencarian ilmu. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Barang siapa yang menempuh jalan ilmu akan dimudahkan Allah menempuh jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat membentangkan sayapnya (kerana gembira) terhadap penuntut ilmu. Sesungguhnya penuntut ilmu dimintakan ampunan oleh segala makhluk di langit dan di bumi bahkan ikan-ikan yang berada dalam air.” (Hadis al-Tirmizi, Abu Daud)

Semoga anak-anak kita gembira menjadi penuntut ilmu yang ikhlas kerana ayah bondanya sentiasa bekalkan ketakwaan di sepanjang jalan kehidupan.

Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita