Sememangnya bukanlah satu perkara mudah apabila seorang yang normal tiba-tiba hilang keupayaan. Kali ini, personaliti yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan OKU Cemerlang 2016, Md Norazwari Md Yusof, 36 yang berasal dari Johor Bahru sebelum ini bekerja sebagai Jurutera ICT. Namun dek kerana penyakit angin ahmar, dia terpaksa berhenti kerja dan berehat.

“Saya pernah bekerja sebagai Jurutera ICT. Kemudian setelah saya sakit akibat serangan angin ahmar ketika itu berlakunya pendarahan di otak kiri, badan saya lumpuh seluruh badan selama lapan bulan, saya berhenti kerja dan cuba berehat dan rasa rendah diri. Semasa saya sakit ketika itu, ibu saya pula meninggal dunia disebabkan sakit gout.

“Saya rasakan diri saya dirundung malang. Malah saya tidak bersemangat dan rasa cukup rendah diri. Kemudian saya mendapat ilham untuk cuba melukis atas nasihat isteri kerana ada salah seorang sahabat yang tinggal di luar negara pernah menasihati saya untuk berlatih melukis.

“Ini kerana dengan melukis akan memulih ingatan kita semula. Saya cuba melukis menggunakan tangan saya yang sakit. Setiap hari saya berlatih melukis dan membaca kisah-kisah motivasi. Selain itu saya juga banyak melakukan fisio dan juga menjaga pemakanan dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan,” terang Md Norazwari yang memiliki Diploma Elektronik, UTM dan kini memiliki pelbagai kemahiran seperti kemahiran bercakap, kemahiran fotografi dan kemahiran berniaga.

 

Menjadi Tenaga Pengajar

Memandangkan kehidupan dahulu merupakan seorang yang normal dan sekarang agak terbatas namun Md Norazwari tidak pernah patah semangat untuk berjaya seperti rakan normal yang lain.

“Zaman sekolah hingga kini, perjalanan hidup saya sangat berbeza. Dulu hidup seperti normal sekarang agak terbatas tapi saya tidak patah semangat. Saya juga boleh buat seperti org lain. Sekarang ini saya menjadi guru tuisyen lukisan, matematik, penceramah motivasi dan penghantar makanan di kawasan berhampiran kediaman saya. Isteri saya dan kawan-kawan adalah penggerak dan inspirasi untuk saya berjaya dalam hidup. Sekarang saya banyak melibatkan aktiviti kemasyarakatan dikawasan sekitar. Tugas harian saya sekarang seawal jam 8 pagi saya mulakan kerja penghantaran makanan untuk sarapan pagi kepada pelanggan disekitar kediaman hingga pukul 11.30 pagi. Kemudian waktu tengahari dan petang. Tidak kurang juga ada yang meminta perkhidmatan saya pada malam hari. Malah saya juga adakan kelas tuisyen bagi subjek lukisan dan matematik. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan,” akui Md Norazwari yang sangat rajin bekerja.

Tekun melukis dan kini sudah melahirkan banyak karya-karya lukisan.

Terima Banyak Anugerah

Sifat rajin yang dimiliki ini tidak dipandang sepi, malah Md Azawari juga telah menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Azam Muafakat Berpotensi 2018 Johor , Anugerah Johor Brand 2017, Anugerah Khas Sultan Haji Ahmad Shah 2017 , Tokoh Usahawan Oku Cemerlang 2016, Mentor Zero To Hero Untuk Usahawan Oku MARA Johor dan Mentor Peserta Jauhar Johor.

“Syukur kerana segala usaha saya mendapat pengiktirafan. Minat dalam pelbagai bidang ini datang setelah saya menyertai kursus-kursus anjuran Agensi kerajaan. Banyak ilmu yang saya perolehi dalam kursus-kursus yang mereka anjurkan. Disitu saya mendalami ilmu dan membaiki kekurangan saya.

“Keistimewaan saya sekarang ialah saya boleh mengajar tuisyen untuk kelas melukis dan mewarna. Saya juga boleh mengadakan kelas fotografi menggunakan telefon pintar. Beberapa gambar yang saya ambil mendapat anugerah fotografi. Saya juga turut mengadakan kelas motivasi kepada masyarakat diluar sana akan sakit stroke ini dan motivasi bagaimana cara menghadapinya. Saya juga meyediakan tempat melukis yang diberi nama Bobscozyhut.

“Alhamdulillah masyarakat memberi pandangan yang positif. Kita juga melakukan kerja dengan baik dan paling penting jangan sombong dengan masyarakat, sentiasa bertegur sapa dengan mereka. Jika ada tersilap kerja segera meminta maaf kepada mereka. Isteri dan diri saya sendiri yang banyak beriinspirasi kepada saya. Sebabnya saya dapat membantu masyarakat di luar sana dengan kudrat saya yang ada.

“Azam saya untuk membantu lebih ramai masyarakat diluar sana dengan khidmat penghantaran saya dan beri pengetahuan akan penyakit stroke dan bagaimana untuk hadapinya. Saya juga menjual produk Baitee Waree iaitu Selendang Dan Sapu Tangan Lukis Tangan Abstrak Johor dan mendapat Anugerah Johor Brand dari Kerajaan Johor,” kata Md Norazwari yang sering menghabiskan masa mengambil gambar ditepi pantai atau diwaktu matahari terbenam. Disitulah dia memperolehi ketenangan. Dan pada waktu malam pula dia akan menghabiskan masa dengan melukis.

Ternyata semangat yang ada pada Md Azawari seharusnya dijadikan contoh yang terBaik. Walaupun kurang upaya namun dia tetap memiliki semangat yang cukup kental untuk menjadi seorang yang berjaya.