banjir teruk

Penghujung tahun memang kita sedia maklum musim tengkujuh dan mungkin banjir teruk akan melanda. Bagi negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan laut dan sungai seperti Negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan juga Negeri di Utara seperti Kedah sering dilanda banjir ketika musim tengkujuh.

Biasanya hujan yang turun tanpa henti sehingga dua atau tiga hari akan menyebabkan banjir berlaku di kawasan-kawasan yang rendah seperti yang berhampiran dengan sungai.

Pengalaman Banjir Teruk Di Tempat Sendiri

Saya berasal dari Rantau Panjang, Kelantan. Kawasan kami yang berhampiran dengan Sungai Golok menyebabkan hampir setiap tahun kampung saya mengalami banjir. Dari kecil memang banjir tu benda yang ditunggu-tunggu oleh kami semua. Mungkin dulu masih kecil dapat main air banjir cukup  menyeronokkan bagi saya dan teman-teman. Dapat tangkap ikan, mandi air bah dalam kawasan rumah, dan meronda satu pekan Rantau Panjang.

Di tempat saya sendiri, setiap kali banjir di kampung rata-rata penduduk akan keluar untuk melihat kawasan yang terjejas banjir. Macam pesta air kalau dapat dirakam. Malah orang yang berada diluar kawasan yang tidak mengalami banjir juga akan datang ke tempat kami untuk sama-sama berpesta.

Dah bekerja ni jarang juga dapat balik ketika banjir, tapi tahun 2014 ketika banjir besar melanda Negeri Kelantan saya berkesempatan balik ketika banjir gelombang pertama melanda. Memang biasanya kalau banjir, Daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang akan terlebih dahulu mengalami banjir. Tahun itu memang luar dari kebiasaan banjirnya. Banyak kereta yang telah diletakkan di tempat-tempat tinggi turut hanyut dilarikan air. Rumah yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, hampir tenggelam tinggal bumbung. Sepanjang hidup tak pernah saya alami banjir yang sehebat itu.

Hampir seminggu bergelap tanpa elektrik, stok makanan yang disimpan juga hampir habis kerana menunggu air yang surut. Memang biasanya penduduk akan sediakan stok makanan secukupnya kerana arif dengan keadaan banjir yang melanda setiap hujung tahun. Kami juga bernasib baik tinggal di kawasan sempadan, dapatlah menyeberang ke Golok untuk mendapatkan stok makanan dan juga bantuan lain.

Tak dapat dibayangkan banjir gelombang kedua yang melanda kawasan lain seperti Kuala Krai, Gua Musang dan banyak lagi ketika itu. Terpaksa melarikan diri ke bukit, tinggal di sekolah yang sudah sedia tinggi, itupun di tingkat tiga. Memang mengerikan tak dapat bayangkan keadaan tersebut. Siapa yang alaminya sendiri pasti kenangan tersebut masih diingatan. Pendek kata lumpuh Negeri Kelantan. Kalau nak bandingkan keadaan tempat saya dengan tempat-tempat lain yang alami banjir pada tahun tersebut, tempat kami masih lagi terkawal.

Baru-baru ini Pulau Pinang pula alami banjir yang teruk. Tak pernah orang Pulau Pinang jangkakan akan alami banjir sebesar itu. Banyak harta benda rosak, feri tak dapat berfungsi dengan baik, bandar-bandar ditengelami air, malah banjir tersebut turut mengorbankan nyawa beberapa warga emas yang sudah semestinya tidak berdaya dengan keadaan sejuk dan air bah yang masuk ke dalam rumah.

Sedih melihat gambar-gambar dan video yang dikongsikan di laman-laman sosial tentang banjir yang berlaku. Banyak kemusnahan akibat bencana alam yang tidak kita jangka ini. Siapa yang perlu dipersalahkan? Atau ini semua ingatan tuhan untuk umatnya yang semakin alpa. Apapun penyebabnya jika mampu untuk menolong, bantulah apa yang patut untuk ringankan beban yang dipikul oleh mangsa-mangsa terjejas banjir.

Memang banjir ni kita tak akan jangka bila ia datang, sebagai langkah berjaga-jaga, info kat bawah ni mungkin boleh kita gunapakai jika ada tanda-tanda banjir akan berlaku. Moga ia dapat memberi manfaat kepada semua.

Apa Yang Patut Dibuat?

Sebelum Banjir

1. Dapatkan maklumat mengenai banjir melalui pengumuman radio, televisyen dan pihak-pihak yang berkiatan seperi bilik gerakan banjir negeri atau daerah.

2. Pastikan saluran perparitan di kawasan sekitar rumah tidak tersekat.

3. Pastikan lokasi pusat pemindahan.

4. Letakkan dokumen penting dalam bekas kalis air dan simpan di tempat yang selamat.

IKLAN

5. Simpan bekalan makanan dan air bersih yang mencukupi.

6. Pastikan bekalan ubat mencukupi bagi yang menghadapi penyakit kronik.

7. Sediakan barang keperluan asas yang paling penting seperti susu anak, ubat-ubatan, lampu suluh, beg pakaian dan peralatan lain sebelum diarah berpindah.

8. Memastikan seluruh ahli keluarga faham mengenai implikasi banjir dan bersedia menghadapinya.

9. Meletakkan kenderaan di kawasan yang tindak pernah dinaiki air dan pastikan kenderaan tersebut berkunci.

10. Simpan nombor telefon yang penting seperti ahli keluarga, jiran, balai polis dan hospital terdekat dan bomba untuk kegunaan semasa kecemasan.

11. Letakkan haiwan peliharaan di tempat selamat kerana haiwan tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas sebab kebersihan dan kesihatan.

12. Dapatkan insurans banjir jika berkemampuan.

IKLAN

Semasa Banjir

1. Pindah ke pusat penempatan mangsa banjir apabila diarahkan berbuat demikian dan seeloknya pindah pada siang hari dan sebelum keadaan banjir menjadi lebih teruk.

2. Jangan biarkan ahli keluarga anda terutamanya kanak-kanak bermain air di luar rumah.

3. Pindahkan peralatan rumah ke tempat yang paling tinggi di dalam rumah.

4. Pastikan dokumen penting tidak ditenggelami air dan bawa bersama sekiranya diarahkan untuk berpindah.

5. Pastikan bekalan elektrik, gas dan air ditutup semasa meninggalkan rumah.

6. Sentiasa mengikuti perkembangan keadaan banjir melalui radio dan televisyen.

7. Ikut laluan perpindahan yang diarahkan kerana laluan singkat mungkin boleh mengundang bahaya.

8. Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang terjatuh

IKLAN

9. Elakkan keluar rumah dengan meredah banjir jika keadaan tidak mendesak.10. Jangan minum dan menggunakan air yang tercemar untuk memasak.

Selepas Banjir

1. Jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan berbuat demikian.

2. Periksa keadaan rumah untuk memastikan keadaannya selamat untuk didiami.

3. Masuk ke rumah dengan berhati-hati dan pastikan anda memakai kasut.

4. Pastikan rumah anda bebas daripada binatang berbisa dan gunalah kayu untuk mengalihkan barangan yang bertaburan di lantai.

5. Periksa paip gas yang mungkin bocor.

6. Periksa bekalan elektrik yang tenggelam.

7. Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.

8. Laporkan kerosakan harta benda awam kepada pihak berkuasa.

9. Buang bahan makanan yang terendam termasuk makanan dalam tin.

10. Pastikan minum air yang telah dimasak dan elakkan dari meminum air yang telah tercemar.

11. Basuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir.