‘Baru Tiga Hari Bernikah..’ Suami Redha Pemergian Isteri Dalam Nahas 7 Kenderaan

Pasangan suami isteri ini, Azman Syah Gusti, 28 dan Salwati Yaakob, 28 baru tiga hari bernikah. Dan bakal meraikan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dengan segala persiapan yang sudah siap disediakan.

Namun, Allah lebih menyayangi isterinya. Lewat malam Selasa, isterinya itu dijemput Ilahi dalam kemalangan maut yang melibatkan 7 kenderaan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Tapah, dekat Tapah.

Baru Tiga Hari Bernikah

Malam itu, Azman dan isteri serta rakannya, Radhiah Sumell, 28 yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan ke Sungai Buloh dari Kuala Kedah, Kedah. Mereka mahu menyempurnakan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki yang dijadualkan pada 23 dan 24 November ini.

Dan sepanjang perjalanan itu, isteri di sebelah tak lekang dari senyuman. Kata isteri, dia suka melihat suaminya memandu. Rupanya itulah, senyuman terakhir isteri untuk suami.

Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lalu. Namun saya redha walaupun sedih dengan pemergiannya.” Suami ini berkongsi kesedihan ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tapah.

Kata Azman lagi, bapanya sudah menempah lembu untuk meraikan kedatangan isteri. Malah lebih 500 kad undangan telah diedarkan. Segala persiapan majlis resepsi sudah disiapkan dari pihaknya.

Tentunya, berita mengejutkan ini memberi kesan yang begitu mendalam buat seluruh ahli keluarga Azman dan Salwati.

Kata Ibu.. Kami Berborak Seperti Biasa

Sementara ibu mangsa, Zaimah Hamim, 45 berkongsi anaknya dan suami bertolak ke Selangor jam 6 petang semalam.

Sebelum berangkat, sempat mereka berborak seperti biasa. Namun, dia tidak nampak sebarang perubahan pada anak sulungnya dari tujuh beradik itu.

Azman yang bekerja sebagai juruteknik di Setapak, Kuala Lumpur manakala Allahyarham Salwati bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

Kemalangan itu menyebabkan Azman cedera jari kanan dan rakannya, Radhiah patah kaki kiri.

Nahas 7 Kenderaan

Kemalangan nahas 7 kenderaan ini membabitkan treler muatan kertas, lori penghantar barangan pos, treler muatan gula, Mitsubishi Pajero, Perodua Myvi, Honda Accord, Perodua Axia dan sebuah lagi kenderaan yang belum dikenal pasti.

Seorang lagi mangsa disahkan maut, Beh Xiu Zhung, 5 yang berada dalam pacuan empat roda Mitsubishi Pajero. Ibu mangsa, Doan Thi Bich, 32 warganegara Vietnam juga tercedera.

Dua lagi mangsa daripada 13 mangsa juga cedera.

Daripada siasatan polis, punca kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan kertas yang dipandu lelaki 52 tahun menuju ke Kuala Lumpur, hilang kawalan.

Kemudian melanggar belakang Perodua Axia yang ada di depannya.

Seterusnya, treller melanggar bahagian kiri Honda Accord, bergesel pula dengan treler muatan gula di bahagian kanan sebelum melanggar Mitsubishi Pajero.

Impak pelanggaran itu, mengakibatkan Mitsubishi Pajero terhimpit antara treler muaran kertas dengan lori penghantaran barang pos.

Lori itu kemudian melanggar belakang Perodua Myvi yang ada di depan.

MW : Al Fatihah untuk keluarga Allahyarham Salwati Yaakob. Didoakan suaminya, Azman tabah menghadapi pemergian insan yang teramat istimewa dalam hidupnya ini.

Sumber/Foto : Harian Metro, Astro Awani