Bukan mudah untuk melupakan kenangan yang dibina hampir 32 tahun bersama ibu. Perselisihan pendapat hanyalah biasa, manakan bisa terpisah hubungan antara ibu dan anak. Tetapi kini segalanya tinggal kenangan apabila ibunya pergi menghadap Ilahi pada 3 Januari 2019 yang lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Biar pun hampir setahun berlalu, tetapi segalanya masih segar di ingatan Rusda Adiba Ahmad, 33 tahun. Mengimbau pada hari kejadian, menurut Rusda Adiba, kebetulan hari tersebut merupakan hari cuti buat Rusda Adiba yang bekerja sebagai jururawat.

“Maklumlah hari cuti, sebenarnya saya merancang untuk ke rumah kawan yang anjurkan majlis makan-makan. Kebetulan mak pula rancang nak buat tahlil untuk arwah wan yang meninggal dunia pada 26 Disember 2019. Pagi itu mak hanya beritahu nak keluar beli laksa untuk majlis tahlil di kedai berdekatan. Sebelum keluar, sempat lagi dia berpesan pada saya jangan lupa kunci pintu.

“Tetapi tak lama selepas mak keluar dalam jam 11 pagi, ada orang datang rumah beritahu mak terlibat dalam kemalangan. Setelah bersiap, saya terus ke tempat kejadian. Ketika itu memang dalam fikiran akan bawa mak balik rumah kalau tak teruk sangat tapi kalau mak sakit, kami akan ke hospital terus.

“Dalam perjalanan ke sana, saya ada cuba hubungi mak dan orang lain yang jawab. Dia tanya saya di mana dan minta saya datang ke tempat kejadian dengan segera. Hati saya makin berdebar apabila soalan saya tentang keadaan mak tak dijawab dan minta saya tengok sendiri.

‘Sampai sahaja di tempat kejadian, saya sudah nampak keadaan motosikal mak, memang teruk. Tak jauh dari situ saya nampak jasad yang ditutup kain putih. Ketika orang minta sahkan betul ke mak, memang jelas mak,” ungkap Rusda Adiba sebak tak mampu menahan sebak.

Majlis kenduri tahlil yang sepatutnya dianjurkan untuk datuknya bertukar kepada majlis tahlil buat ibu Rusda Adiba. Siapa sangka, tidak sampai 10 hari, ibunya pula menyusul menghadap Ilahi.

Mak Pergi Mengejut

Sesungguhnya bukan mudah untuk menelan takdir, kehilangan ibu tercinta ibarat kehilangan nyawa sendiri, hilang tempat bergantung. Tatkala melihat jenazah ibunya, Rusda Adiba memang terduduk dan menangis semahu-mahunya. Perutnya yang sedang memboyot, mengeras secara tiba-tiba kerana dirinya sedang hamil anak ketiga.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM) yang bertugas cuba menenangkan Rusda Adiba apabila melihat emosinya tidak terkawal. Bayangkan ibunya pergi mengejut, sudah tentu memberi tamparan hebat buat empunya diri. Ternyata bukan mudah Rusda Adiba menerima takdir yang menimpa.

“Lama juga saya memendam rasa dan dilanda rasa sedih, dalam keadaan mengandung ketika itu buatkan saya lebih beremosi. Sehingga selepas bersalin masih terkenangkan arwah mak. Sepatutnya mak yang menjaga saya ketika berpantang, akibat kejadian itu saya berpantang tanpa ditemani mak.

“Setelah enam bulan berlalu, barulah saya boleh kawal emosi. Tujuan utama saya berpindah daripada Hospital Seremban, Negeri Sembilan ke Hospital Alor Setar, Kedah semata-mata untuk bersama mak dan abah. Tetapi selepas beberapa bulan bersama, emak pergi dulu.

“Lagi pula saya memang rapat dengan mak kerana saya satu-satunya anak perempuan. Oleh sebab itu berat sangat nak terima kenyataan yang mak dah tiada. Sepanjang saya berpindah balik ke kampung, segalanya mak yang uruskan. Suami terlibat dalam operasi kerana dia seorang pegawai tentera, mak dan abah lah orang pertama yang hulurkan pertolongan. Jadi ketiadaan mak amat terasa,” jelasnya lagi.

Terpaksa Berdikari

Setiap kali berada di rumah ibunya membuatkan hati anak kelahiran Kedah ini terkenang pada arwah. Segenap inci rumah ibu mengingatkan memori Rusda Adiba dengan ibunya. Setiap kali menumpang solat di bilik ibunya, terasa seolah-olah ibunya masih ada.

Kehilangan ibu buatkan Rusda Adiba makin kuat menempuh hari mendatang serta lebih berdikari. Jika selama ini, wanita ini dapat sandarkan beberapa perkara pada ibunya, kini tiada lagi. Segalanya Rusda Adiba uruskan sendiri termasuklah kerja rumah dan juga menguruskan anak-anak.

“Setiap kali bersedih dan teringat mak, saya akan bacakan surah Al-fatihah. Biasanya kalau berada di rumah, saya akan masuk bilik arwah dan duduk lama-lama sambil bacakan surah Yassin. Setiap kali tibanya hari Jumaat, saya akan ziarah kubur mak.

“Ketika hari ulangtahun mak yang ke-60 pada 15 November, paginya saya ziarah kubur mak dan malamnya saya buat sedikit kenduri tahlil di masjid khas buat mak.

“Harapan dan fokus saya setelah mak tiada adalah menjaga abah. Memang tujuan utama minta pindah balik ke Kedah adalah untuk menjaga mak dan abah. Cukuplah 10 tahun tinggal berjauhan. Tetapi hanya 8 bulan sahaja Allah tunaikan hasrat saya untuk menjaga mak.

“Namun saya bersyukur dapat uruskan jenazah hingga selesai semuanya. Bermula dari tempat kejadian, pergi ke hospital naik kereta polis escort jenazah, berjumpa doktor untuk urusan bedah siasat dan termasuklah memandikan jenazah serta kafankan dia.

“Kalau saya bertugas atau tinggal jauh dari mak, mungkin saya tak dapat lakukan semua ini,” luahnya hiba yang mengakui bahawa tidak mampu membalas segalanya kebaikan ibunya kerana melahirkan dan membesarkan dia.