Dari 85 kg Ke 58 kg, Diet Keto Selamatkan Tulang Belakang Aida Narina

Apabila doktor memberi kata dua tentang risiko yang bakal dihadapinya, seperti mendapat ‘wake up call’ , wanita ini perlu segera mencari jalan demi kesihatan dirinya sendiri . Aida Narina Abdul Ghaffar 35, memulakan diet keto seawal tahun 2018 apabila dirinya disahkan doktor menghidap severe slip disc. Dengan beratnya yang mencecah 85 kg ketika itu, dia berdepan dengan risiko pembedahan di bahagian tulang belakangnya. Baru berusia pertengahan awal 30-an wanita ini berdepan dengan risiko serius yang memerlukan satu usaha dilakukan bagi masa depannya.

“Saya memulakan diet sejak awal tahun 2018 kerana disahkan menghidapi severe slip disc yang menghalang pergerakan (tidak boleh duduk atau diri) dan disarankan oleh doktor untuk mengurangkan berat sebanyak minima 20kg. Jika tidak, satu pembedahan di bahagian tulang belakang perlu dilakukan.

“Sejak itu, saya mengawal pemakanan dan mengamalkan teknik suku-suku separuh dan tinggi protein serta serat. Alhamdulillah saya berjaya menyingkirkan 10 kg berat badan dalam tempoh tiga bulan.

“Kemudian saya mengamalkan diet rendah karbo, pengambilan protein yang sederhana dan tinggi serat serta lemak dari tumbuhan seperti buah zaitun, kelapa dan kekacang atau nama lain diet Keto serta Intermittent fasting (puasa selama 16 jam dan ruang waktu makan selama 8 jam) dan berjaya hilang lebih 15kg sehingga hari ini,”kongsinya gembira apabila usahanya itu membuatkan berat badannya kini mencapai angka 58 kg.

Antara menu sihat menjadi santapan Aida sepanjang misi kurus dan sihat sehingga ke hari ini

Diet Keto

Menurut Aida lagi, dia memilih diet ini kerana ia bersesuaian dengan gaya hidupnya. Konsep pemakanan secara diet keto dapat memberikan tenaga yang lebih untuk Aida melakukan aktiviti-aktiviti latihan kecergasan seperti indoor cycling, spinning, tinju dan HIIT training.

“Matlamat utama diet ini adalah untuk mendapatkan tubuh dalam keadaan metabolik yang dikenali sebagai ketosis. Ketosis berlaku apabila badan kita telah kehabisan stok glucogen (gula atau karbo) sehingga perlu mencari sumber bahan bakar lain. Hati akan mula memproses lemak menjadi Keton untuk dijadikan sumber bahan bakar utama tubuh untuk melakukan kerja.

“Pemakanan rendah karbo atau Keto diet dan Intermittent fasting banyak memberi impak positif kepada saya dari segi lebihan tenaga dan mental fokus yang lebih baik selain dapat menurunkan berat badan secara konsisten (2kg setiap bulan) dan menurunkan paras kolestrol serta gula dalam badan.

“Apa yang menyeronokkan apabila melihat perubahan positif di mana saya berjaya menyingkirkan sebanyak 15 kg berat badan dari berat terdahulu. Saya juga tidak lagi mengalami masalah sakit tulang belakang yang serius.

“Saya kini lebih bertenaga dan mampu melakukan senama sebanyak tiga ke empat kali dalam seminggu tanpa masalah. Perubahan besar dalam hidup saya, membuatkan saya mahu mengekalkannya gaya hidup sebegini dan tidak mahu lagi dibelenggu dengan masalah kesihatan yang membimbangkan,”ujar isteri kepada Muhammad Nurazlan Jamaluddin dan ibu kepada Cayden Yusuf dan Isaac Emre.

Foto kiri Aida disisi suami, ketika saiz berat tubuhnya sekitar 80-an. Manakala gambar kanan keadaan terkini Aida dengan berat yang lebih ideal, 58kg

Mahu menjadi inspirasi kepada orang lain

Perubahan sosok tubuhnya yang ketara menyebabkan ramai kenalannya teruja mahu mengetahui rahsia Aida. Wanita yang dahulu bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas di Damansara Perdana kini merupakan seorang pengusaha makanan sihat khususnya menyediakan makanan rendah karbo serta mesra Keto.

Aida memanfaatkan medium media sosial sepenuhnya bagi berkongsi produk makanan sihatnya di @bitesandpieces.my dan kini beliau juga merupakan seorang jurulatih kecergasan serta penasihat pemakanan sihat.

“Sejak ramai yang bertanya tentang diet yang saya amalkan, saya mengambil inisiatif dengan berkongsi resipi-resipi menarik di dalam Instagram dan juga Facebook berunsurkan menu rendah karbo dan mesra keto.

“Saya juga mula menawarkan produk makanan keto friendly seperti kek, roti dan pizza secara online di instagram @bitesandpieces.my. Ramai yang sukakan roti serta kek rendah karbo kami kerana rasanya sedap dan manis walaupun tidak menggunakan gula putih dan tepung.

“Keupayaan diri mengubah gaya hidup membuatkan saya teruja mahu membantu mereka di luar sana menikmati hidup dengan cara yang sihat. Saya secara peribadi ingin menjadikan tahun 2020 sebagai tahun permulaan untuk membantu orang lain menjadi lebih sihat dan mahu berubah ke arah lebih baik. “Stop fighting and start helping” adalah pegangan saya hari ini,”kongsinya optimis.

Kongsi Aida lagi, dia mula menjinakkan diri sebagai jurulatih pemakanan dan aktiviti sihat sejak awal tahun ini menerusi satu program terkenal untuk peserta menurunkan berat badan serta mengubah gaya hidup mereka. Selain itu Aida juga banyak memberi kata-kata semangat dan mengajak teman-temannya untuk workout bersama-sama di studio supaya sentiasa kekal aktif.

Sebelum menutup bicara, wanita ini mengimpikan usaha kecilnya ini dapat menginspirasi lebih ramai wanita di luar sana untuk hidup lebih sihat.

“Saya bercadang mahu mengambil sijil dalam bidang berkaitan dan dapat menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang aktiviti kesihatan. Dalam masa terdekat saya mahu mengambil sekurang-kurangnya dua sijil sebagai jurulatih peribadi bertauliah. Selain itu saya juga mahu mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan banyak lagi produk-produk makanan rendah karbo/ tiada gula atau keto-friendly selain memperkenalkan kebaikan makanan ini kepada masyarakat di luar sana,”kongsi wanita ini tentang sisi juangnya untuk hidup lebih sihat.