Foto: Koleksi Peribadi Elly Billionaire

Proses untuk bergelar wanita inspirasi bukanlah satu yang mudah. Namun, tidak mustahil jika anda memiliki tekad dan niat yang baik untuk membentuk peribadi yang positif bagi orang-orang di sekitar anda.

Malah sikap positif itu juga akan membuat orang-orang di sekitarnya tenang dan nyaman. Secara tidak langsung, anda telah maju selangkah untuk menjadi wanita hebat.

Begitu jugalah dengan figura hebat yang juga pemilik nama sebenar Norhaili Ahmad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Elly Billionaire. Wanita hebat ini mempunyai pengalaman perjalanan bisnes yang luar biasa.

Mana tidaknya bukan calang-calang insan yang mampu bergelumang dalam bidang unit amanah di mana pendapatan hanya diraih secara komisyen.
Bak kata, Elly, “Kalau ada jualan, adalah komisyen dan gaji. Jadi, keberanian adalah sesuatu yang penting untuk melangkah ke bidang ini”.

Sara Ibu & Persekolahan Adik-Beradik

Anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Pahang ini merupakan graduan UiTM dan memiliki Ijazah Perakaunan.
Membongkar kisah hidupnya, Elly bukanlah berasal dari keluarga yang senang. Dia terpaksa berhempas pulas menyara kehidupan keluarga selepas ayahnya meninggal dunia.

“Selepas tamat belajar di universiti, kerjaya pertama saya sebagai Juruaudit. Ketika itu saya berkhidmat dengan salah satu syarikat audit terbesar dunia dengan gaji bulanan hanya sebanyak RM1750.

“Disebabkan saya mempunyai impian yang cukup besar dan keperluan ketika itu adalah untuk menyara ibu serta adik-adik saya yang masih bersekolah setelah kematian ayah saya.

“Jadi saya berhenti selepas bekerja selama tiga tahun setengah. Saya tekad untuk menceburi bidang kewangan sebagai Perunding Unit Amanah demi meraih pendapatan yang jauh lebih baik,” akui Elly yang mula menceburkan diri dalam bidang unit amanah sekitar tahun 2003.

18 Tahun Ceburi Unit Amanah

Pejam celik, pejam celik rupanya sudah 18 tahun wanita cekal ini terlibat dalam unit amanah. Dirinya kini memiliki syarikat Sendirian Berhad.

“Syarikat saya, 1EBC Sdn Bhd adalah sebuah agensi yang memberikan khidmat dalam bidang kewangan iaitu Unit Amanah bersama Kenanga Investors Berhad dan juga Perlindungan Takaful Bersama Hong Leong MSIG Takaful.

“Kepakaran agensi yang saya tubuhkan adalah bertujuan untuk membantu dan mendidik individu, serta badan korporat mengenai perancangan kewangan, selain memberikan kesedaran tentang keperluan perlindungan kewangan dan juga kesihatan diri,” sambung Elly.

Akui bidang ini begitu sesuai dengan jiwanya, Elly juga berasa berbesar hati bukan sahaja boleh membantu para pelabur untuk mengembangkan serta melindungi simpanan mereka, bahkan dirinya juga secara peribadi berpeluang untuk mendidik ramai anak Melayu terutamanya, untuk mencari pendapatan yang jauh lebih baik.

IKLAN

Ditebak mengenai cabaran dalam kerjayanya ini, Elly akui semua pekerjaan pasti mempunyai cabaran yang tersendiri.

“Cabaran yang paling utama adalah pengurusan insan. Ini kerana setiap mereka mempunyai latarbelakang, kepercayaan, pendidikan, serta semangat yang berbeza. Mendidik serta memberi keyakinan kepada mereka agar memahami selok belok perniagaan, memerlukan kesabaran yang sangat tinggi,” jawabnya.

‘Buku Impian’ Rahsia Kejayaan

Menyentuh tentang erti putus asa, dirinya juga tidak terkecuali.

“Semestinya. Sebagai manusia biasa, kita takkan lari daripada perasaan putus asa itu. Tetapi apabila kita memiliki impian yang sangat besar untuk diri dan keluarga, serta tanggungjawab ke atas impian setiap anak didik saya, menjadikan saya tidak mudah mengalah.

“Namun begitu, impian yang besar sahaja tidak cukup. Impian yang dimiliki harus mempunyai sebuah tujuan supaya kita terus maju dalam mencapai impian. It must be clear in front of your eyes. Sebab itu saya akan pastikan impian saya dicatat di dalam sebuah buku yang saya namakan, ‘Buku Impian’. Inilah salah satu rahsia kejayaan saya di dalam bidang unit amanah.

“Perasaan putus asa itu selalu terbit di ‘waktu sunyi’ saya, terutamanya pada waktu tengah malam atau waktu awal pagi. Saya akan recognize perasaan ini dan saya katakan ini adalah signal hasutan syaitan terhadap impian saya. Dia datang untuk binasakan impian saya.

“Jadi apa yang saya buat? Saya buka balik Buku Impian saya. Saya tengok dalam-dalam image tersebut, sampai menusuk ke hati.

“Bila hati berbolak balik saya akan terus sembahyang dua rakaat, berdoa kepada Allah. Dan dengan cara inilah saya bangkit kembali demi impian saya,” luah Elly tentang petua-petua yang diamalkan untuk terus istiqamah dalam perniagaan.

IKLAN

Carilah Mentor Yang Hebat

Dalam perniagaan pasti ada turun naiknya, bukan itu saja malah mereka juga perlu bijak dalam menghadapi persaingan.

“Dalam apa jua bidang yang kita ceburi, persaingan merupakan perkara yang tidak dapat kita hindari. Prinsip utama yang saya pegang dalam menghadapi persaingan adalah, kenal produk yang kita jual dan pasarkan. Apabila kita mengetahui produk yang kita jual dengan menyeluruh, secara tidak langsung kita dapat meyakinkan pelanggan dengan baik.

“Selepas mengenali produk yang kita pasarkan, adalah penting untuk kita mengetahui dan menguasai cara-cara mengendali produk tersebut. Macam stereng kereta, kereta tak akan bergerak dengan betul sekiranya pemandu tidak tahu cara mengendali kenderaan tersebut.

“Kekuatan sesuatu produk terletak pada penjualnya. Belajar bekerja keras pada diri sendiri, perbaiki diri dengan ilmu jualan dan cari mentor yang hebat. Bak kata seorang mentor terkenal yang saya pegang hingga ke hari ini, “Sekiranya anda bekerja keras dalam pekerjaan yang anda ceburi, anda boleh menjana pendapatan. Sekiranya anda bekerja keras pada diri sendiri, anda boleh memperoleh lebih banyak keuntungan”. Segalanya bermula dari anda,” ceritanya.

Sentiasa Belajar & Tambah Ilmu

Elly juga menegaskan dalam menarik pelanggan, seseorang itu perlu sentiasa menimba ilmu.

“Niat utama haruslah untuk membantu pelanggan dan kita kena sentiasa belajar dan menambah ilmu dalam diri. Seperti dalam bidang unit amanah, latihan dan kursus kemahiran tentang produk adalah sangat penting dalam memberikan khidmat nasihat kepada pelanggan dengan lebih baik.

“Seperti pasukan saya, rutin kami adalah mengendalikan sesi latihan atau kursus secara fizikal atau maya, pada setiap minggu bagi mengasah ilmu yang diperlukan. Kita secara automatik akan menjadi lebih yakin dalam mengendali pelanggan apabila kita mempunyai persediaan yang secukupnya,” terang Elly yang turut mengamalkan agar memahami siapa pelanggan anda dan produk yang anda pasarkan. Komponen ini memainkan peranan yang penting kerana kepentingan produk mempengaruhi kebaikkan yang pelanggan akan perolehi.

Disebalik kejayaan wanita ini, dia turut mendapat sokongan padu dari ahli keluarga tersayang.

IKLAN

“Saya sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong usaha yang saya beri selama ini. Semenjak hari pertama dalam bidang ni, ibu saya Sadariah Jaafar tak pernah berhenti mendoakan kejayaan saya. Begitu juga dengan adik saya Norazlin Ahmad Mokhtar yang sentiasa setia bersama saya.

“Di samping itu, kepercayaan dan toleransi suami tercinta, Farezul Jali ke atas saya dalam mengemudi empayar yang besar ini amat saya hargai. Yang jelas, saya tak akan bisa berada di kedudukan sekarang tanpa mereka semua,” katanya.

Jadikan 1EBC Agensi Perancang Kewangan Terbesar

Wanita berjiwa besar ini juga mempunyai target tersendiri dalam dunia perniagaan.

“Saya ingin menjadikan 1EBC agensi perancang kewangan yang terbesar di bawah naungan Kenanga Investors Berhad . Di mana mereka yang berada di bawah saya mempunyai kehebatan membimbing bukan sahaja di dalam bidang perancangan kewangan, malah mereka juga pakar didalam Perlindungan Risiko dan agihan harta pusaka.

“Saya ingin melatih, khasnya anak-anak muda masa kini dengan memberi kesedaran awal tentang mereka mampu untuk menjadi jutawan sekiranya mereka mempelajari dan mendalami ilmu perancangan kewangan sebaiknya,” ungkapnya.

Elly juga turut menasihatkan pelabur baru agar tetapkan pendirian dalam mengejar target yang diimpikan.

“Nasihat saya adalah, pelabur harus jelas tentang objektif dalam pelaburan mereka. Sebagai contoh, unit amanah memerlukan masa minimum tiga hingga lima tahun untuk mencapai pulangan yang baik. Sekiranya objektif anda setara dengan konsep unit amanah, pelaburan anda akan mencapai target yang diimpikan.

“Kerana itu saya memilih untuk berkhidmat dengan Kenanga Investors Berhad kerana Kenanga Investors Berhad mempunyai lebih daripada 300 dana unit amanah daripada 19 syarikat pengurusan dana yang berbeza dan ini dapat memberi pilihan yang lebih banyak kepada mereka yang ingin membuat pelaburan. Kenanga Investors Berhad juga ada menyediakan khidmat perancangan kewangan serta menggalakkan penyertaan ahli agensi untuk memberi khidmat yang terbaik kepada pelanggan ,” ujarnya lagi.

Elly juga tidak lokek ilmu dan berkongsi tip mengenai bimbingan ‘leaders’.

“Antara tip yang saya boleh kongsikan adalah mewajibkan latihan/kursus kepada pasukan masing-masing. Saya mahu ketua atau leaders yang berilmu dan berkongsi ilmu yang mereka perolehi.

“Ketua-ketua pasukan saya juga wajib capai target yang saya atau syarikat berikan kepada mereka dan setiap daripada mereka saya didik secara menyeluruh agar mereka menyerlah dengan lebih cemerlang,” akhiri Elly.