raja buah

Mungkin belum terlambat kalau nak cerita fasal raja buah iaitu durian. Ada yang suka sangat makan durian, ada pula yang bau pun tak boleh langsung, tapi rasanya kebanyakan orang memang sukalah makan buah ni. Baru-baru ni viral fasal pesta durian yang diadakan Di Shah Alam. Ramai yang tak puas hati tak dapat makan buah durian seperti yang digempar gempurkan, dengan durian tak masak dan sebagainya. Ada juga tergerak hati nak join kenduri durian tu,maklumlah dapat makan durian sampai ‘lebam’ dengan harga serendah RM 19 siapa yang tak nak kan. Nasib baik tak jadi pergi kalau tak dengan ‘hakak’ sekali ‘kuciwa’.

Famili saya memang semuanya hantu durian, teringat masa kecil-kecil dulu kalau beli durian memang beli berbakul-bakul terus. Famili ramai jadi memang tak cukup kalau beli sikit-sikit. Tambahan pula dulu-dulu durian tak macam sekarang mahalnya. Kalau musim durian dah beli durian banyak-banyak tu kami akan buat kenduri pulut durian. Memang syok sangat dapat kenduri ramai-ramai makan durian dan pulut durian.

Kami memang keluarga besar, jadi kalau berkumpul tak pernah tak ramai. Pendek kata kalau buat kenduri lembu separuh tu mungkin hanya untuk keluarga kami sahaja. Sebab itulah kalau beli durian dulu kena berbakul-bakul. Ok bukan nak cerita pasal tu tapi memandangkan saya suka durian saya nak share skit tip untuk pilih durian yang elok. Mana tau berguna untuk anda semua bila nak beli durian. Bukan semua orang tahu macam mana nak pilih durian yang elok ni kan, tapi ini pun saya google jugak la sebab sebelum ni memang main belasah sahaja beli durian, kadang-kadang suruh tuan kedai tu tolong pilihkan. Jadi saya kongsikan kat sini moga-moga bermanfaat untuk kita semua:

1. Duri

Pilih durian yang memiliki duri yang jarang, besar dan agak tumpul kerana biasanya durian jenis ini memiliki isi yang bagus, kering dan manis. Selain itu, duri yang agak tumpul akan lebih mudah untuk dibuka.

2. Bentuk Buah

Durian yang memiliki bentuk unik dan tidak bulat biasanya memiliki isi yang tebal, manis dan biji yang kecil atau kurus.

3. Bau

Durian yang matang akan mengeluarkan aroma yang kuat dan harum. Sebelum membeli durian, ambil baunya dengan cara merapatkan sedikit hidung ke kulit durian. Jika kurang berbau, ini bermakna durian tersebut tidak sempurna matangnya dan berkemungkinan telah diperam. Nasihat kepada anda jangan cium lebih-lebih nanti luka pulak hidung anda yang cantik dan mancung tu.

IKLAN

4. Kulit

Pastikan kulit luarnya tidak cacat. Jika ada cacat pada kulitnya (misalnya busuk atau ada lubang ulat) kemungkinan isi di dalamnya busuk dan tidak dapat dimakan. Elakkan dari memilih buah yang kulitnya sudah retak atau pecah pada hujungnya. Retak atau pecah pada bahagian kulit durian akan membuat isi di dalamnya bercampur dengan udara bebas yang mengakibatkan rasa buah menjadi masam atau tawar.

5. Goncang Durian

Untuk memilih isi durian yang berkualiti, goncangkan durian dan rasakan getaran kecil di dalam buah. Letakkan kedua telapak tangan pada buah durian, diikuti dengan jari-jari tangan dan dipegang agak erat. Dan goncang secara perlahan-lahan. Jika dapat merasakan getaran kecil ini bermakna isi buah kering dan matang kerana isi yang kering akan terpisah dari dinding kulit dalam manakala isi yang lembab atau terlalu lunak akan melekat di dinding kulit durian tersebut.

6. Tengok tangkai buah

Kalau gelap semacam sahlah buah tu dah lama jatuh. Kalau berlendir dan masih cerah lagi memang ianya fresh dan baru jatuh. Tangkai yang tahan lasak dan liat mempunyai rasa yang sedap daripada biasa.

7. Perhatikan bahagian bawah durian

Pilihlah buah yang belum merekah bontotnya. Ianya fresh lagi. Tapi kalau dah merekah dan kehitaman pula warnanya sahlah buah tu dah lama dan nak busuk.

IKLAN

8. Kupas dan rasa buah semasa beli

Yang ni paling senang. Suruh je penjual tu buka durian untuk elak rasa tertipu. Kalau rasa tak sedap takyah beli dan cari kedai yang lain.

Haa… lagi satu untuk penggemar durian, kalau ada masa dan bajet lebih mungkin boleh pergi bermalam di beberapa tempat yang menawarkan pakej all-you-can-eat. Tempat-tempatnya pun cantik-cantik dan sesuai untuk bawa keluarga bercuti bersama.

1. Green Acres Orchard & Ecolodge

Terletak 3km dari pekan Balik Pulau, Pulau Pinang, kawasan yang meliputi 16 ekar tanah berbukit ini dah berusia lebih dari 50 tahun. Ada lebih dari 450 pokok durian dengan 32 jenis yang berlainan untuk anda rasa bila menginap kat sini.

IKLAN

2. Bukit Karuna

Tempat ini juga terletak di Balik Pulau, tempat ini dulunya merupakan dusun durian sebelum ia dibeli oleh Carl seorang warganegara Amerika Syarikat dan isterinya, Lilian yang suka makan durian. Pemandangan kat sini memang ‘awesome’ jadi bolehlah anda makan durian sambil menikmati pemandangan yang indah.

3. Bao Sheng

Satu tempat yang cantik dan hebat untuk dikunjungi bersama keluarga. Boa Sheng yang terletak di Pulau Pinang ini mempunyai dusun yang menempatkan lebih daripada 16 jenis durian yang berumur lebih dari 60 tahun. Untuk anda yang menginap kat sini boleh menikmati durian tanpa had dan juga buah-buahan lain.

4. Sim Kao Yen

Sim Kao Yen terletak di Bandar Bersejarah, Melaka. Dusun ini mempunyai 29 jenis durian untuk anda nikmati pada musimnya. Kadar harga yang ditawarkan dekat sini lebih murah berbanding yang lain.

5. Eight Acres

Eight Acres juga salah satu destinasi yang boleh dipertimbangkan buat penggemar durian. Dengan konsep penginapan yang moden yang rustic, tempat ini terletak di antara Bentong dan Raub. Kalau tengah musim durian, anda boleh menikmati durian-durian seperti D24, 101, Teka dan Durian Kampung sampai kenyang.

6. Tras Durian Farmstay

Terlatak di Raub, Pahang, tanah yang berkeluasan 23 ekar ini sesuai untuk yang inginkan ketenangan. Dikelilingi dengan sungai dan hutan, kalau menginap di sini, anda boleh membuat aktiviti seperti memancing, jungle trekking, berbasikal dan banyak lagi aktiviti untuk keluarga yang lain. Selain dapat makan durian pada musimnya, anda juga boleh makan ayam kampung dan ikan segar yang dimasak sendiri jika menginap kat sini.