Ujian rumahtangga sangat menyakitkan. Kita berdoa, moga Allah mudahkan ujianNya, tapi makin payah pula nak dilalui. Hati mula ragu-ragu, tak sayangkah Allah dengan kita? Jangan begitu mak-mak, ada sebab kenapa Allah tak beri apa kita nak.

Hadamkan persoalan cara berdoa dengan betul ini yang dikongsikan Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Puan Suzana Ghazali ini ketika berhadapan dengan konflik rumah tangga.

 

Puan Suzana Ghazali

Tolong Bagitau Doa Yang Kak Su Ajarkan Tu

Salam. Kak Su, tolong bagitau semula doa yang Kak Su ajar masa kita bercakap malam tadi.

Itu petikan mesej yang dikirim klien baru saya, kurang lapan jam selepas bertemu janji bersama saya menerusi telefon. Mungkin pembaca nak tau, apakah doa yang dimaksudkan klien saya itu?

Sebenarnya doa mudah menggunakan bahasa pertuturan harian memohon petunjuk kepada Allah sama ada perlu meneruskan hubungan bersama suami atau sebaliknya.

Kenapa Doa Allah Belum Makbulkan

Saya yakin, memang ramai yang berdoa kepada-Nya bila berdepan dengan pelbagai ujian. Tapi tak ramai yang benar-benar berserah kepada-Nya bagi menentukan keputusan yang terbaik.

1. Ramai yang lebih suka memohon agar hajat hati atau kemahuan fikiran sendiri diperkenankan oleh Allah SWT walau tidak pasti sama ada hajat atau kehendak tersebut terbaik untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak atau sebaliknya.

Sebab itulah ada tikanya bila doa yang diminta daripada Allah SWT dimakbulkan oleh-Nya, masalah dan ujian masih ada malah ada tikanya lebih parah dan payah.

2. Ada juga yang berdoa memohon yang terbaik daripada Allah SWT tetapi tidak betul-betul berserah atau mulut lafaz mohon yang terbaik tetapi minda telah ditetapkan dengan sesuatu kehendak.

Lantaran, ramai yang mengeluh telah berdoa mohon yang terbaik tetapi jawapan daripada-Nya tetap tidak berpihak ke arah yang terbaik.

3. Bagaimana nak betul-betul berserah? Jangan letak sebarang keputusan atau pendirian terhadap masalah anda. Terus berdoa mohon Allah berikan jawapan yang terbaik untuk diri dan jika ia melibatkan urusan perkahwinan; berdoa mohon yang terbaik untuk diri, pasangan dan anak-anak.

4. Jangan mohon yang terbaik untuk diri sahaja sebab yang terbaik untuk anda belum tentu yang terbaik juga untuk pasangan dan anak-anak anda.

Ini Cara Doa Yang Betul

1. Doa Perlu Diiringi Usaha

Bukan sahaja, doa tetapi perlukan juga usaha walau masih tidak pasti jawapannya.

Sebagai contoh; perkahwinan sedang hadapi saat getir sebab suami gagal laksanakan tanggungjawab memberi nafkah zahir malah ada tikanya bertindak memukul isteri jika isteri enggan bantu berikannya wang yang diminta tetapi suami adalah lelaki yang penyayang dan romantik jika masalah kewangan tidak diambil kisah oleh isteri.

Dalam erti kata mudah; suami boleh jadi baik kalau kegagalannya jalankan tanggungjawab memberi nafkah tidak dipersoalkan atau tindakannya meminta wang daripada isteri tidak dipertikaikan.

Fakta penting: kes ini adalah contoh kegagalan hikmah perkahwinan yang dianjurkan oleh syarak.

Bila berdepan keadaan seperti ini; usaha lakukan kehendak syarak iaitu biar suami jalankan tanggungjawabnya yang wajib dan jangan penuhi kehendak suami yang meminta wang.

Jika suami bertindak memukul, segera buat aduan kepada pihak berkuasa; pihak polis, dapatkan pengesahan doktor (walau hanya lebam-lebam biasa) dan laporkan juga kepada Unit Aduan dan Kaunseling di pejabat agama yang berdekatan.

2. Usahakan Dengan Solat Istikharah

Sama juga dengan isu solat istikharah sebagai antara usaha dan doa untuk mendapat petunjuk.

Saya pernah ditanya, bentuk jawapan yang boleh dipercayai hasil solat istikharah sama mimpi atau kata hati? Saya tak dapat berikan jawapan yang tepat sebab solat istikharah itu sendiri perlu dilakukan dengan penuh adab dan syarat.

Menurut ulama, jawapan akan diberikan melalui mimpi dan ada juga menerusi kata hati bermaksud rasa hati anda lebih menjurus kepada sesuatu kehendak.

Cuma, sama seperti berdoa, paling penting bukan berapa banyak solat istikharah yang anda lakukan tetapi yang utama ialah sejauh mana kebergantungan anda kepada Allah untuk memohon petunjuk dan bimbingan?

Luahkan segala isi hati berbicara dengan-Nya sama seperti anda meluahkan keresahan anda kepada sahabat baik anda. Gunakanlah bahasa yang anda faham! Tak perlu hafaz doa dalam Bahasa Arab yang anda tak faham. Allah Maha Mengetahui dan Memahami apa saja bahasa yang anda gunakan.

3. Agar Doa Makbul, Jangan Tinggal Solat 5 Waktu

Tak cukup hanya usaha dan doa tetapi paling penting, anda perlu tunaikan dan dirikan solat. Tak penting solat hajat atau istikharah tetapi yang lebih utama ialah solat lima waktu.

Segala masalah atau ujian datangnya daripada Allah, bukan saja sebagai kifarat dosa tetapi juga sebagai tanda kasih sayang-Nya, bukti kita di bawah perhatian-Nya.

4. Fahamkan & Rasai Maksud Hikmah Di Sebalik Ujian

Hanya Dia yang tahu hikmah di sebalik ujian yang diberikan-Nya lantas sucikan hati, bersihkan minda dan berserahlah sepenuhnya kepada Allah SWT mohon yang terbaik.

Berdoa tanpa jemu, tanpa mengeluh atau persoalkan bila doa akan dimakbulkan. Doa anda akan dimakbulkan juga dan hikmahnya akan anda rasai bila tiba waktunya nanti.