Lelaki Cari Bakal Isteri Kerja Gomen, Semata Kaut Kesenangan, Goyang Kaki

Pernah dengar kan kes-kes semacam ini. Lelaki mendekati bakal isteri yang kerja gomen atau kerja kerajaan, sebab nak hidup senang. Dekati janda kaya, sebab tak nak susah kerja, lebih baik goyang kaki duit jatuh atas riba.

Bayangkan tertekannya hidup isteri, yang terperangkap dengan suami sebegini. Macam mana nak ambil semula haknya dari suami kejam macam ini? Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli jelaskan ada caranya.

 

Lelaki Cari Bakal Isteri Kerja Gomen, Semata Kaut Kesenangan, Goyang Kaki

Tujuan Lelaki Kahwini Bakal Isteri Kerja Gomen

Saya ada terbaca satu berita di akhbar tentang lelaki yang mengambil kesempatan untuk berkahwin dengan wanita yang berpangkat atau kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan yang bagus. Tujuannya adalah untuk ‘pow’ duit atau mintak isteri ni buat pinjaman peribadi untuk hal tertentu.

Pada saya, perkara ni bukan berlaku pada orang ‘gomen’ ja. Kadang-kadang ada juga kes suami kikis duit isteri yang ‘janda kaya’ atau wanita yang mempunyai pendapatan bagus untuk kesenangan hidupnya. Ini realiti yang berlaku.

Jadi, ada ramai wanita yang mungkin pernah lalui situasi ini tak tahu, apa yang boleh dan perlu untuk dia buat bagi mendapatkan semula haknya itu.

  • Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang, seksyen 61(3)(b)(ii) dinyatakan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes yang berkaitan dengan tuntutan harta yang berbangkit di dalam perkahwinan dan perceraian. (ringkasan bacaan seksyen).
  • Sama juga bagi negeri-negeri lain cuma mungkin ada beza dari segi pemakaian Enakmen seperti Kedah, perkara ini dinyatakan di dalam Enakmen Mahkamah Syariah Kedah 2008. Yang pasti, setiap negeri akan ada peruntukan tentang isu ini, tuntutan harta dalam perkahwinan & selepas cerai.
  • Jadi, hak disisi undang-undang itu ada untuk seorang isteri menuntut hutang yang diberi olehnya kepada suami sebagai pinjaman. Perkara tersebut ada di Mahkamah Syariah. Syaratnya mesti hutang dalam perkahwinan. Bukan hutang masa ‘couple’, tunang atau selepas cerai. Yang tu tak dikira dan perlu berlaku di Mahkamah Sivil.

Tip-tip Untuk Buat Tuntutan Hutang Dalam Perkahwinan

Perjanjian bertulis

Kalau kita beri orang pinjam duit, Al-Quran pun cakap suruh tulis dan catat hutang walaupun hutang itu kecil nilainya. Jadi, kalau hutang yang dibuat oleh suami terhadap isteri juga perlu ada hitam putih sebaiknya supaya ada bukti yang jelas dan perlu disaksikan oleh sekurang-kurangnya seorang saksi lelaki. Itu memang paling kuat la.

Dokumen pinjaman

Kalau pinjaman itu dibuat terhadap bank, mesti akan ada satu salinan dokumen pinjaman yang dibuat bagi membuktikan tentang pinjaman itu dibuat oleh pihak isteri. Cuma, masalah besar lah kalau buat pinjaman Ah Long. Mana nak ada dokumen rasmi diberi. Sebaiknya, jika isteri membuat pinjaman untuk diberi kepada suami tu, simpan baik-baik bukti bersurat tentang duit yang dibuat pinjaman tu.

Transaksi ke bank suami

Kalau buat pinjaman duit, jangan bagi cash by hand. Itu cari nahas sebabnya memang tak ada bukti la nak tunjuk kata ada serah duit pada suami. Pastikan apa-apa transaksi pemberian duit itu dibuat ke akaun suami dengan transaksi online. Tolong jangan pilih untuk bagi byhand atau cash deposit.

Kalau cash deposit, resit yang keluar tu lama-lama akan pudar. Sekarang ni dah zaman online, memang pelik kalau sesetengah orang tak ada akaun online. Boleh dikatakan setiap bank dah ada. Jangan lupa, nyatakan juga alasan untuk transfer ke akaun suami tu dengan perkataan ‘Pinjam ke suami untuk…..’

Saksi

Di dalam syarak, saksi ini merupakan pembuktian yang cukup kuat dalam apa-apa tuntutan. Sebaiknya, setiap pinjaman kepada suami itu disaksikan oleh seseorang atau lagi bagus dengan dua orang lelaki. Kalau pinjam sikit-sikit tu mungkin tak ada la saksi, tapi kalau nak buat apa salahnya.

Yang penting pastikan, saksi ini orang yang baligh, berakal, tak ada niat jahat atau apa-apa kepentingan, lelaki kalau boleh. Senang nanti nak bawak ke Mahkamah kalau melalui proses bicara.

Whatsapp/Email/Mesej

Ini pun salah satu bentuk bukti yang boleh diterima. Sebab ada orang dia maklum kata bagi pinjam itu melalui telekomunikasi. Ada perbualan tentang pinjaman yang isteri bagi kepada suami. Jadi, pastikan perbualan-perbualan berkaitan hutang ini tidak dipadamkan daripada mesej yang asal. Yang penting kena ada pembuktian jelas tentang identiti orang yang isteri mesej tersebut adalah suaminya. Mesej-mesej tu pastikan ada di dalam perbualan asal daripada handphone kerana itu yang bakal menjadi bukti primer semasa bicara. Bukan sekadar screenshot sahaja.

Ok, saya rasa setakat itu sahaja tip-tip yang mungkin boleh saya kongsikan kepada isteri-isteri khususnya untuk tahu dan faham tentang hak mereka dalam tuntutan hutang semasa perkahwinan. Kes ini jarang dituntut sebab ada yang tidak tahu dan banyak juga yang ditolak oleh Hakim sebab gagal dibuktikan.

Jadi, tak salah kalau niat isteri tu baik untuk bagi suami pinjam duit sebab nak bantu suami, cuma pastikan kita sediakan payung sebelum hujan. Kalau tidak, sia-sia sahaja menanggung hutang kalau berlaku perceraian. Ingat, langit tidak selalu cerah yer wahai wanita.

Apa kata anda? Ada dapat apa-apa tak daripada sharing ni? Kalau ada cuba bagitau FAHAM kat komen tu. Boleh ke boleh?

Hati-hati Cari Calon Suami

MW : Wanita-wanita yang kerja gomen, berduit itu.. berhati-hatilah ketika memilih untuk kahwini orang yang kamu cintai. Selain lihat kejujurannya, kajilah latar belakangnya.

Baca sini : Senyap-senyap suami gadai emas isteri, harta kira lupus jika hilang bukti

Sumber/Foto : Fahmi Ramli