Orang cakap kehidupan bermula pada usia 40 tahun. Pada usia inilah segala-galanya mampu ditempuhi dengan sebaik mungkin atau menajdi lebih teruk. Pernah dengar orang mengatakan, orang itu akan berubah sebaik usia 40 tahun dan jika dia masih lagi di takuk yang sama, sukar untuk berubah buat selamanya Allahua’lam.

Hakikatnya, pada usia beginilah kita dapat merasakan umur kita semakin hari semakin pendek. Cuma, teruskan kehidupan yang lebih baik dan bersyukurlah dengan apa yang dianugerahkan oleh kita.

Perkongsian daripada Isma Addi Jumbri, dapat memberi manfaat untuk kita semua.

MENJELANG UMUR EMPAT PULUH

1. Bila umur menjelang empat puluh, buatlah sedikit senaman agar keluar peluh.
2. Bila dah berumur empat puluh, hidup biar banyak bersyukur bukannya banyak mengeluh.
3. Menjelang umur empat puluh elakkan hidup membanding-banding, elakkan tekanan umpama kepala dihantuk dinding.
4. Sebelum umur menjelang empat puluh belilah rumah sebagai harta, agar hidup sewaktu tua tak merempat dan melata.
5. Umur empat puluh elakkan kata-kata negatif, fikir dan sebut perkara yang positif.
6. Hargai dan tolak-ansur dengan pasangan, umur empat puluh kurangkan asyik berangan.
7. Umur empat puluh jauhi dengki dan iri hati, ingatkan diri ikutkan hati akan mati.
8. Umur empat puluh tingkatkan juga ilmu, jaga makan dan beringat ketika menjamu.
9. Umur empat puluh dekatkan diri pada Tuhan dan agama, hargai orang sekeliling terutama pasangan yang lama hidup bersama.
10. Kala umur empat puluh jaga juga kesihatan, tundukkan nafsu dan juga penglihatan.
11. Tiada guna hidup empat puluh asyik membenci, elakkan cakap negatif dan caci-mencaci.
12. Umur empat puluh belajar maafkan orang dan diri sendiri, hidup bererti dengan memberi.
13. Umur empat puluh sebaiknya makin kenal Tuhan, berbicaralah pada Dia Yang Maha mendengar doa dan segala rintihan.

Ungkap Kembali Kisah RUMAH PERTAMA

Tatkala nak pilih dan buang gambar-gambar dalam ‘phone’ dah berusia lebih 5 tahun ni, saya terperasan gambar yang pernah arwah ayah kirim dalam ‘group’ anak-anak.

Gambar ini gambar rumah yang arwah ayah beli 5 tahun lalu selepas arwah ayah jual rumah pertama yang dibeli masa sebelum arwah ayah umur 40-an.

IKLAN

Masa tu gaji rendah, arwah ayah dan mak beli juga rumah sebab katanya bila tua adalah rumah. Tak nak hidup merempat dan melata.

Tak sampai setahun, rumah yang dibeli di Kluang Johor tu kami terpaksa sewakan sebab arwah ayah kerap kena ‘transfer’.

Maklumlah tentera, saya sendiri turut terkesan sama sering bertukar sekolah rendah. Seingat saya 6 sekolah rendah.

Duit sewa rumah yang dapat, ada lebihan dan lebih kurang 22 tahun yang lalu, arwah ayah beli rumah kos rendah di Melaka. Katanya nak ‘settle down’ di Melaka.

Lima tahun lalu, arwah ayah buat keputusan jual rumah yang pertama di Kluang itu dan beli rumah ini.

Mak kata, masa nak beli rumah ini jurujual macam nak tak nak layan aje. Siap kata “umur pakcik dan makcik dah tak boleh nak buat pinjaman.”

Bila arwah ayah kata, “saya faham, saya nak beli rumah ini secara tunai.” Barulah jurujual rumah ‘terbeliak mata’ dan siap bagi diskaun lagi!

Kini, baru mengerti kenapa arwah ayah dan juga mak tetap nak beli rumah pertama dulu walaupun pada masa tu gaji agak rendah.
Benarlah apa yang selalu orang kata, sebelum umur menjelang empat puluh belilah rumah sebagai harta, agar hidup sewaktu tua tak merempat dan melata.

Umur empat puluh dekatkan diri pada Tuhan dan agama, hargai orang sekeliling terutama pasangan yang lama hidup bersama.
Al-Fatihah juga (dengan bacaan) buat arwah ayah.

MW: Pada usia inilah, segala kejayaan dan kebahagiaan berada dipuncaknya. Jalani kehidupan yang lebih selesa dan bahagia dengan keluarga tersayang.

Sumber: Isma Addi Jumbri