Hampir setahun kita hidup dalam norma baharu; dibelenggu pandemik Covid19. Begitu hebat penangannya, ramai yang terjejas sumber pendapatan berikutan banyak langkan SOP yang menyebabkan pergerakan dan komunikasi terbatas.

Golongan yang terjejas selain ketua keluarga, tentulah para wanita juga kerana mereka turut membantu menjana pendapatan keluarga dan diri.

Justeru itu, Mingguan Wanita (MW) sangat prihatin dengan nasib menimpa kebanyakkan rakyat yang terjejas pendapatan khasnya wanita.

Susulan itu, MW melihat keperluan penting melancarkan Kempen Bangkit Wanita dengan tagline Lakar Kejayaan Dengan Yakin.

Ramai yang suka berniaga dari rumah

Kempen Bangkit Wanita

Kempen yang berlangsung dari Mac ini akan dibawakan khusus oleh pihak Mingguan Wanita, media wanita No.1 tanahair yang selama ini sememangnya banyak mengangkat isu-isu berkaitan wanita termasuklah usaha memperkasakan wanita.

Kempen yang julung kali dianjurkan ini merupakan pendekatan proaktif MW mendekati golongan sasaran iaitu wanita B40 dan M40 bagi melibatkan diri dalam dunia perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

Ini merupakan usaha awal yang difikirkan terbaik buat masa ini; menangani kebuntuan wanita mendapatkan maklumat perniagaan apa yang wajar mereka ceburi seterusnya menyertai latihan atau kemahiran asas.

Permulaan asas tanpa memerlukan banyak modal awal, yang penting adalah ilmu yang diperoleh.

Sebagai permulaan, MW akan mengenal pasti golongan sasaran dengan mendapatkan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan, pihak NGO wanita dan juga menerusi kumpulan-kumpulan FB yang aktif bagi menyampaikan maklumat program kepada golongan sasaran.

Webinar Percuma

Seterusnya, Bangkit Wanita merangka kursus asas mulakan perniagaan dari rumah menerusi Webinar Bangkit Wanita.

 

Selari dengan keadaan semasa, kursus ini dijalankan secara atas talian. Sebanyak lima kursus yang dianjurkan secara percuma dan ia dikendalikan oleh panel yang terbukti berjaya memulakan bisnes mereka dari rumah.

IKLAN

Perkongsian ilmu itu diharapkan dapat menjadi panduan awal kepada para peserta. Pengalaman, tip dan formula mampu mengelakkan peserta yang tidak ada llmu perniagaan dari rumah teraba-raba atau tersilap langkah, apatah lagi tertipu.

Webinar akan bermula pada pertengahan Mac ini dan dilakukan secara Live di FB Mingguan Wanita. MW amat menyarankan agar peluang ini diambil dengan mendaftar awal kerana ia adalah percuma. Dan berlangsung selama sejam setiap satu.

Antara tajuk webinar yang dijalankan ialah Senang-Senang Buat Duit Bisnes Bakeri Dari Rumah, Padu…Jana Income Bisnes Tudung Tanpa Kedai, Buat Part Time Bisnes Aiskrim Jana Pendapatan 5K!, Capai 4 Angka Bisnes Mobile Spa Dan Tak Susahpun Buat Duit Kencang Bisnes Di Shopee

Webinar ini memberi peluang kepada wanita dari golongan B20 dan M40 mendekatkan diri dengan dunia perniagaan yang mana kini terbukti ramai yang berjaya melakar kejayaan dengan memulakan bisnes kecil dari rumah.

Kursus Latihan (Praktikal)

Bermula dari webinar, ia akan disusuli pula dengan penganjuran kursus-kursus latihan kemahiran secara praktikal. MW menganjurkan kursus praktikal bagi membantu dan memberi pendedahan kepada para wanita mendalami ilmu-ilmu kemahiran dan bisnes asas menerusi latihan amali.

Sebanyak tujuh kursus praktikal yang dijalankan secara bersemuka dibuka kepada penyertaan para wanita yang belum atau kurang pengetahuan dari sudut teknikal dan teori mengusahakan perniagaan yang diminati.

IKLAN

Kursus yang dianjurkan ini adalah kursus yang dekat di hati para wanita kerana ia berkaitan dengan gaya hidup mereka juga.

Kursus ini akan mengenakan yuran minimum sahaja iaitu RM100 namun ilmu yang diperoleh dan manfaat sampingan lainnya tidak akan diperoleh di tempat lain.

Antara kursus latihan yang dibuka kepada penyertaan ialah kursus jahitan asas, bakeri, aneka kuih dingin beku (frozen), kemahiran mobile spa, bisnes online shopee, latihan dan penyediaan makanan dan simpan kira-kira (asas perakaunan dan pengurusan kewangan).

Pilihan kursus ini merupakan antara kursus yang diminati ramai golongan wanita bukan sahaja ia kena dengan gaya hidup mereka, tetapi turut mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Dalam erti kata lain, kursus yang dianjurkan ini adalah perniagaan yang boleh dimulakan dengan segera tanpa memerlukan premis khas dan modal yang terlalu besar disamping mempersiapkan mereka dengan formula pengurusan kewangan dengan lebih tersusun.

Kursus latihan yang akan dianjurkan mengikut SOP ini dijangka bermula pada Mei sehingga Ogos 2021 dan makluman tentangnya akan diwar-warkan untuk pendaftaran semua.

Akhir sekali adalah acara kemuncak kempen Bangkit Wanita ini dan dalam masa sama bagi meraikan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2021.

IKLAN

Acara Kemuncak

Acara kemuncak ini merupakan sebuah konvensyen yang dianjurkan khas buat semua wanita terutamanya usahawan yang baru bermula, sedang meningkat naik mahupun yang telah berjaya.

Konvesyen Inspirasi CEO Bisnes Viral ini dijadualkan berlangsung pada hujung Ogos 2021.

Acara sehari ini sangat istimewa berikutan, ia akan menghimpunkan lima CEO bisnes viral masa kini. Mereka adalah contoh atau model kejayaan perniagaan yang diusahakan secara kecil dan akhirnya menjadi perniagaan besar dan tersendiri di dalam kelasnya. Dari biasa ke luar biasa. Atau dari zero ke hero.

Untuk mencapai tahap ini sudah tentu banyak kisah dan pengalaman suka duka dilalui. Mereka telah merasai laluan getir dengan iringan kekuatan semangat, usaha dan ilmu yang digali sepanjang proses menaikkan perniagaan.

Semua kisah dan pengalaman ini akan dikongsikan oleh para CEO ini. Ia diharapkan dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada para peserta.

Kempen Bangkit Wanita ini sememangnya direka khas untuk menunjuk cara dan jalan kepada wanita yang berhasrat meningkatkan ekonomi diri dan keluarga. Ia satu permulaan baik untuk yang mahu melakar kejayaan.

Di akhir kempen ini, MW menyasarkan para peserta akan memperoleh banyak manfaat antaranya:

  1. Ilmu asas mulakan perniagaan kecil dari rumah
  2. Latihan amali bagi mendapatkan skil atau kemahiran asas yang diperlukan
  3. Jaringan kerja berkualiti
  4. Bisnes tersenarai dalam direktori Bangkit Wanita Mikrosite
  5. Tersenarai sebagai vendor di portal selera lokal iaitu Jom Rasa Bazaar
  6. Tersenarai sebagai vendor di portal Baby Bazaar by Pa&Ma

Untuk penyertaan webinar, kursus praktikal dan konvensyen, sila hubungi urusetia di talian: 0196328758 ATAU terus mendaftar di toko.ideaktiv.com