Pernah Pendapatan RM2000 Sehari Jual Dadah, Maria Tekad Berubah Dan Masuk Pusat Pemulihan

Pernah mengalami pelbagai peristiwa pahit dapat hidup, mampu membuatkan seseorang itu memiliki kekuatan diri. Tiap Kehidupan manusia punya jalan cerita tersendiri. Walau pun ada yang tersilap langkah, namun yang penting pengakhirannya.

Begitu juga dengan wanita muda yang dikenali sebagai Maria (nama samaran),31 thn. Berasal dari utara tanah air. Siapa sangka, di sebalik wajah manis dan lembut itu, dia menyimpan sisi gelap dalam hidupnya. Maria rupanya pernah bergelar ‘tokan’ dadah wanita iaitu penjual dadah! Bagaimana dia boleh terjebak? Ikuti pengakuannya secara eksklusif kepada tim MINGGUAN WANITA.

Hidup Berdikari

Saya merupakan seorang pelajar cemerlang dan dari keluarga yang terpelajar. Saya tak ada masalah keluarga. Cuma berbanding kakak dan adik, sebagai anak nombor dua, saya lebih berdikari. Suka buat hal sendiri. Jadi, mak ayah tidak begitu beri tumpuan pada saya berbanding adik beradik lain.

Selain itu, mungkin mereka percaya saya mampu berdikari dan diajar untuk menguruskan wang sendiri waktu di sekolah rendah lagi. Saya akan diberikan elaun bulanan yang akan uruskan sendiri.

Bercakap soal dadah, bagaimana saya bermula, sebenarnya saya mula menghisap ganja pada usia 14 tahun, bila berkawan dengan rakan-rakan yang menghisap dadah itu. Kebanyakan kawan-kawan saya lelaki. Mak ayah memang tak pernah syak apa-apa. Yang mereka pentingkan, result saya cemerlang, tak ponteng sekolah dan tidak ada apa-apa masalah di sekolah. Tiap hari, jam 10 malam saya sudah ada di rumah. Jadi memang mereka tak syak apa-apa.

Pernah Pendapatan RM2000 Sehari Jual Dadah, Maria Tekad Berubah Dan Masuk Pusat Pemulihan

Mulanya Untuk Hisap Sendiri, Akhirnya Jual

Hinggalah apabila saya memasuki sebuah universiti di Melaka. Waktu itulah, saya mula menjual dadah pula. Awalnya tiada niat langsung untuk jual. Saya hanya bawa bekalan dalam kuantiti yang agak banyak memandangkan sukar nak dapatkan bekalan di tempat baru. Siapa sangka, bila ada rakan-rakan yang tahu, mereka mula minta untuk beli dengan saya.

Waktu itu, dapat rasa betapa senangnya nak dapat duit. Cuma saya tak dapat anggarkan berapa pendapatan saya waktu itu. Namun saya mampu hidup dengan selesa. Menyewa sebuah kondo agak jauh dari kampus, boleh shopping bila-bila masa, boleh pergi parti tiap minggu. Memang kehidupan saya waktu itu sangat happening.

Tak Pernah Kantoi

Mungkin ada yang tertanya-tanya, masih belajar tapi dalam masa berani jual dadah. Tak takut kantoi? Ya, mak ayah saya tak dapat hidu memandangkan saya duduk jauh. Di universiti pun tak pernah kantoi kerana saya amat berhati-hati. Saya tak berkawan dengan ramai orang dan saya tak jual pada penghidap sendiri tapi saya guna orang tengah.

Saya menyewa dengan beberapa orang rakan lelaki dan mereka inilah yang akan jual. Mereka ini kiranya kerja untuk saya demi nak dapatkan ‘barang’ free.

Daripada Ganja Ke Ecstacy

Apabila lingkungan kawan-kawan makin ramai dan sering berkunjung ke kelab-kelab malam, saya mula berjinak dengan pil ecstacy pula. Saya sedar, bila ambil pil, tak boleh ambil di depan orang ramai jadi saya mula anjurkan private party.

Di situ jugalah saya akan supply dan jual. Bayangkan waktu itu, sebiji pil saya boleh jual dengan harga RM40. Memang banyak untung kerana bila beli secara pukal (banyak), saya boleh dapat harga RM6 untuk sebiji pil. Itu semua membuatkan saya rasa diri saya hebat dan berkuasa.

Waktu itu memang tak ada langsung rasa bersalah. Rakan-rakan saya semua lelaki yang ada grup masing-masing dan mereka itu bawah ‘kawalan’ saya, sanggup buat apa saja yang saya cakap. Saya rasa hebat sebab banyak duit dan dapat kawal ramai orang. Apa saja saya nak, mereka akan buat. Itulah yang saya rasakan waktu itu.

Tapi untuk ‘menutup lubang’ dan mengaburi mata mak ayah terutamanya, soal akademik tetap cemerlang. Tiap semester result saya terbaik jadi memang orang tak syak. Lagi pula, saya menghisap tak sampai tahap ketagih teruk. Walau pun malamnya saya enjoy parti, esok pagi saya masih boleh ke kelas untuk ambil exam.

Lagi artikel menarik di sini:

Wariskan Sifat Kehambaan Pada Allah Dalam Diri Anak

Mak Kena Ajar Anak Cara Atasi Kemarahan Bukan ‘Naikkan Suara’ Dan Biarkan

Jangan lupa follow Mingguan Wanita di instagram

Dunia Pekerjaan

Selesai diploma, saya mula kerja di sebuah syarikat. Waktu itu, ganja memang ‘makanan’ harian saya. Waktu itu, saya umpama ada dua personaliti; siang sebagai seorang pekerja normak tapi malamnya ‘party girl’. Agak sukar untuk saya seimbangkan dan akhirnya saya ambil syabu atau metamin kerana saya perlukan energy untuk pergi kerja.

Waktu itu juga saya mula rancang nak jual syabu pula. wan2 pun sb ramai yang tak suka ambil. Saya dapat jangka keuntungan yang saya bakal dapat. Akhirnya lepas dua tahun kerja, saya jual syabu pula. Saya beli dalam jumlah yang banyak, timbang, pek dan hantar sendiri.

Sehinggalah pada usia sekitar 25 tahun, waktu itu saya rasa kemuncak dalam kehidupan saya. Ada banyak duit dan kuasa. Ramai orang dengar arahan saya. Bila pergi kelab-kelab malam, ramai kenal siapa saya. Memang rasa seronok sangat.

Kahwin Namun Akhirnya Cerai

Dalam soal hubungan cinta, saya boleh dapatkan mana-mana lelaki yang saya suka. Tapi, saya sedar mereka itu bukan ‘husband material’. Ada yang hanya mengejar duit saya atau pun kerana nak mudah dapatkan ‘barang’ percuma daripada saya. Istilah cinta sejati memang tak ada.

Akhirnya pada usia 26 tahun, saya ambil keputusan untuk kahwin dengan calon yang dipilih keluarga. Walau pun tanpa cinta tapi saya tetap nak mencuba. Selepas kahwin, saya ‘cuci tangan’, tak menghisap dadah dan jual dadah. Saya tekad untuk memulakan hidup baru.

Ternyata, kebahagiaan yang saya impikan tak kesampaian. Dipendekkan cerita, saya bercerai selepas setahun setengah berkahwin. Selepas cerai adalah waktu paling mencabar dalam hidup saya.

Pernah Dilanda Kemurungan

Lepas cerai, saya depresi, tak nak keluar rumah dan pergi kerja. Akhirnya saya hilamng kerja. Kemudian rumah sewa juga tak mampu bayar hingga terpaksa keluar rumah dan selama sebulan tidur di dalam kereta saja.

Saya rasakan itulah saat paling teruk dalam hidup dan demi untuk kelangsungan hidup, saya tekad untuk jual dadah semula. Hanya dengan satu panggilan kepada pembekal lama, saya mendapatkan stok dan dalam tempoh dua hari, saya berjaya dapatkan wang deposit untuk rumah sewa, sebuah kondo tiga bilik. Jadi, bayangkan berapa banyak saya dapat dalam sehari.

Waktu itu, muncul balik perasaan yang selama hampir dua tahun ‘hilang’, iaitu rasa teruja nakkan kuasa dan rasa dapat kawal orang lain. Saya jual syabu dan pernah dapat RM2000 sehari.

Tahu Undang-Undang

Sejak awal lagi, saya sedar dan tahu tentang undang-undang. Saya sedar apa risiko dan hukuman yang saya akan hadapi kalau tertangkap. Tapi tak pernah terlintas rasa takut dalam diri saya. Sebabnya saya sangat teliti dalam merancang.Segala perkara saya rancang penuh hati-hati. Saya pernah cakap pada kawan, kalau nak buat jahat, kena pandai. Jangan cuba tarik perhatian orang. Saya juga tak jual pada penghisap tapi pada beberapa orang dealer yang saya percaya. Waktu itu, ada client saya yang terdiri daripada VIP dan selebriti yang sanggup bayar lebih asal barang itu selamat sampai di depan pintu rumah mereka.

Turning Point

Bila hidup dilimpahi kemewahan dan kuasa, orang nampak kita okay saja. Tapi hidup saya makin lama makin ‘kosong’. Saya tak ada ramai kawan sebab takut ditikam dari belakang. Sosial life pun tak macam dulu.

Hinggalah pada tahun 2017, bulan puasa. Saya ingat lagi, satu hari ada kawan rapat call nak datang ambil dadah di rumah. Dia datang bersama isteri yang masih dalam pantang dan dua orang anak. Yang besar sekitar tiga tahun. Mereka berdua bergilir-gilir hisap syabu di depan anak mereka yang hanya memandang. Waktu itu, hati saya rasa bersalah pada anak-anak itu.

Kemudian bila hendak balik, dia berikan duit untuk bayar dadah dan katanya duit itu sebenarnya duit untuk beli baju raya anak-anaknya. Sekali lagi, hati saya tiba-tiba ditusuk rasa bersalah yang amat sangat. Saya rasa saya seolah-olah penyebab kegembiraan anak-anak itu musnah.

Saya tak ambil duit tu dan berikan dadah itu secara percuma saja. Tapi saya pesan jangan lagi datang ke rumah saya selepad itu.

Keinginan Nak Bunuh Diri

Bulan puasa itu saya hanya habiskan stok yang ada dalam simpanan. Lepas raya, bila kawan-kawan call nak barang, saya cakap tak ada. Masa itu saya baru sedar, saya tak ada kawan pun bila saya tak ada barang. Taka da yang datang lepak dan call tanya khabar.

Saya tak balik raya sebab tak nak bersemuka dengan famili lepas bercerai. Saya rasa teramat sunyi. Call kawan semua tak nak jumpa dan duit pun dah mula kurang waktu itu.

Hingga akhirnya datang rasa nak bunuh diri. Saya ingat lagi, bulan Julai. Saya pernah calal kawan-kawan dan cakap saya perlukan bantuan tapi mereka gelak saja dan anggap gurauan. Saya sangat terpukul kerana selama ini saya sangat berdikari dan tak suka kongsi masalah dengan orang. Bila saya nak ‘open’, orang tak percaya. Akhirnya saya berdiam diri.

Akhirnya saya ambil keputusan untuk call mak kerana dapat rasa saya sangat-sangat perlukan bantuan. Bila call mak, rasa frust juga bila ayat pertama mak tanya; “nak duit ke? Bila terus terang dengan mak, memang mulanya mak tak percaya. Saya balik jumpa mak dan bincang. Saya cakap saya nak pergi pusat pemulihan.

Mulanya mak suruh tinggal di rumah saja dan dia akan jaga saya tapi saya tetap bertegas nak ke pusat pemulihan. Saya tahu bagaimana diri saya.. Dah 14 tahun saya bergelumang dengan dadah, memang tak semudah balik rumah dan cuba berubah. Bila saya beretegas, akhirnya mak dan ayah akur. Hari ini balik jumpa mak ayah, esoknya saya bawa mak ayah pergi tengok pusat pemulihan itu. Balik rumah, saya kemas baju dan keesokannya tanggal 25 Julai 2017, saya sendiri drive dan bawa mak ayah ke pusat pemulihan. Saya bagi mereka kunci kereta dan suruh mereka balik. Alhamdulillah, kini saya bersih dan bebas sepenuhnya daripada dadah.

Nasihat

Kini saya sedang dalam proses menyambung pelajaran semula. Saya juga tinggal bersama keluarga. Walau pun tak mungkin dapat teus kembali masa yang dah hilang namun kini setiap hari saya akan luangkan masa dengan mak ayah. Saya seronok balik dan masak untuk mereka.

Saya sedar saya tak mampu ubah apa yang telah berlaku dalam hidup saya. Malah saya tak rasa menyesal kerana perjalanan hidup saya itulah yang memberikan kekuatan pada diri saya kini. Kalau saya tak lalui semua itu, mungkin saya tak sekuat sekarang.
Cuma nasihat saya, tak guna kejar keseronokan yang tak kekal. Kita tak sedar, kita sebenarnya merosakkan diri kita. Kita jauh dari keluarga, kawan-kawan di sekeliling kita hanya ambil kesempatan saja.

Selain itu, jangan main-main dengan depresi kerana ia sangat berbahaya. tolong peduli pada orang-orang yang rapat dengan kita yang kita tengok tak pernah ada masalah. Tapi kita tak tahu apa sebenarya yang mereka alami.

MW: Semoga kita semua dapat mengambil ikhtibar di atas perkongsian Maria. Tiada jalan mudah untuk hidup senang. Untuk mak ayah, tolong perhatikan anak-anak kita. Kenal siapa rakan-rakan mereka dan apa kegiatan mereka seharian. Kisah Maria ini boleh ditonton di website MW menerusi segmen CERITA DALAM KAIN episod 7 ini https://www.mingguanwanita.my/video/wanita-dadah-bahagian-2-cerita-dalam-kain-ep7/