Demi kandungan Ayu Raudhah, 33 tahun telah mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari dunia lakonan sehingga dia selesai proses berpantang.

Dua orang anak mereka, Muhammad Aisy Qaiser yang kini berusia 4 tahun dan Muhammad Aisy Aryann, 3, tidak meragam. Ini memudahkan Ayu dan Zaquan menyediakan juadah.

“Kami tidak pernah merancang dalam soal keluarga. Malah berita kehamilan ini juga hadir dalam waktu yang tidak disangka. Semuanya diserahkan kepada rezeki. Ketika tahu mengandung juga saya sedang sibuk dalam penggambaran sebuah telefilem. Memang ini suatu berita yang gembira sebenarnya. Selepas kelahiran anak kedua, tiga tahun lalu, rasanya ini waktu yang tepat untuk kami.

 

 

IKLAN

“Kandungan saya sudah  lima bulan, ikutkan pengalaman kali ini memang berbeza. Saya mengalami alahan yang teruk, lantaran saya hanya berehat di rumah dan tidak boleh ke mana-mana kerana tidak larat. Mujur suami banyak membantu. Mungkin disebabkan faktor umur juga, ketika ini saya sudah berumur 33 tahun jadi sebab itu ada perbezaan.

“Ketika mengandungkan anak pertama dan kedua memang saya sangat bertenaga. Namun kali ini saya dapat rasakan yang badan sangat tidak bermaya dek kerana alahan yang agak teruk. Saya sering sakit kepala dan muntah-muntah sehingga rasa tak tentu arah,” ujar Ayu yang kelihatan begitu jelita walaupun sedang mengandung.

#Pray For Baby Girl

Bila ditanya tentang jantina anak, Ayu memohon doa agar dia dikurniakan anak perempuan. Ketika ditemubual Ayu dan suami masih belum pasti mengenai jantina anak ketiganya. Pasangan ini tidak nafikan memang begitu kepingin kehadiran anak perempuan.

“Melihat keletah anak saudara saya iaitu anak kepada Che Ta, tidak dinafikan saya juga mengidam untuk mempunyai anak seperti Aaisyah Dhia Rana. Maklumlah saya dah ada dua orang anak lelaki jadi kali ini harap sangat dapat perempuan boleh jadi kawan saya. Jadi tolonglah doa ya, #prayforbabygirl.

IKLAN

“Sepanjang mengandung saya lebih fokus pada suami dan anak-anak. Bila hujung minggu pula saya akan turun ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan  keluarga dan urusan perniagaan lain. Bagi saya keluarga paling utama dan merupakan tulang belakang buat saya,” ujar Ayu yang tidak boleh duduk diam dan akan pastikan rumahnya sentiasa kemas.

Menyentuh tentang ragam anak-anaknya, Ayu menjelaskan sebagai seorang ibu dia mahu melayan anak-anak dengan cara yang terbaik. Namun dia akui lebih garang berbanding suaminya, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 30 tahun.

 

IKLAN

 

 

“Sepanjang jadi ibu pada saya nak kawal anak-anak paling sukar. Sebabnya kita perlu kawal emosi sendiri dan kalau boleh tak nak marah-marah. Antara saya dan Zaquan, saya garang sedikit dengan anak-anak. Zaquan pula sangat manjakan anak-anak.

“Zaquan jarang ada masa dengan anak-anak sebab jadual latihannya yang terlalu padat. Dalam sehari dua kali dia akan berlatih bermain bola sepak. Anak-anak memang rapat dengan saya. Tapi bila daddy dia balik, memang diorang akan melekat dengan Zaquan. Masa itulah mereka akan bermanja dengan daddy mereka. Zaquan juga sangat manjakan anak-anak dalam masa yang sama sebenarnya sebagai ibu bapa kita tak boleh terlalu ikutkan sangat kehendak anak-anak,” sambung Ayu.