Risiko Tinggi Jika Tidak Ambil Peduli Rentak Jantung Tidak Sekata!
Gambar sekadar hiasan

Bagaimana anda hendak tahu diri mengalami masalah rentak jantung tidak sekata?

Pernahkah secara tiba-tiba jantung  anda mempunyai degupan yang sangat perlahan. Adakah ia normal? Dalam situasi lain pula, di mana seseorang itu panik, jantungnya berdegup pantas, berdebar dan berpeluh-peluh?

IKLAN

Kadangkala kita merasakan mungkin ini perkara biasa dan bersifat sementara. Bagaimanakah jika keadaan ini terjadi sekali lagi tetapi kali ini, berlarutan dalam tempoh yang agak lama. Adakah degupan jantung sebegini normal?

Apa itu Perentak Jantung Buatan?

Pakar Kardiologi Elektrofisologi, Gleneagles Hospital Pulau Pinang, Dr Ng Jit Beng menjelaskan degupan jantung normal adalah nadi yang seragam pada kadar yang normal. Biasanya degupan jantung normal berlaku antara 60 hingga 100 denyutan per minit. Kadar ini dijanakan oleh perentak jantung (pacemaker).

Risiko Tinggi Jika Tidak Ambil Peduli Rentak Jantung Tidak Sekata!
Dr Ng Jit Beng, Pakar Kardiologi Elektrofisologi, Gleneagles Hospital Pulau Pinang

Perentak jantung buatan adalah peranti yang berfungsi mengawal degupan jantung dan mengekalkan nadi jantung yang mencukupi sama ada disebabkan ketidaklajuan perentak jantung semula jadi atau wujud penghalang pada sistem perjalanan elektrik pada jantung.

Kadar denyutan jantung bagi seorang dewasa dalam keadaan normal tanpa sebarang aktiviti berat seperti berlari atau bersenam adalah dalam lingkungan 60 hingga 100 degupan seminit (BPM).

Bagaimanapun, sekiranya pesakit mempunyai masalah degupan jantung terlalu perlahan, mereka disyorkan memasang perentak jantung buatan untuk membantu menstabilkan semula degupan jantung mereka.

IKLAN

Siapa Yang Perlu Guna Perentak Jantung Buatan?

Perentak jantung buatan adalah peranti kecil yang diimplan di bawah kulit di bahagian dada untuk merawat pesakit yang mempunyai degupan jantung yang tidak normal atau terlalu perlahan.

Risiko Tinggi Jika Tidak Ambil Peduli Rentak Jantung Tidak Sekata!
Perentak Jantung Buatan

Seseorang pesakit itu memerlukan perentak jantung buatan apabila mempunyai degupan jantung tidak normal iaitu jantung terlalu perlahan.

Tanda-tanda seseorang pesakit memerlukan perentak jantung buatan adalah mereka yang keletihan, lemah, pitam, pening atau sesak nafas.

Semua peringkat umur sesuai memakai perentak jantung buatan ini. Namun kebanyakannya pesakit yang memerlukan perentak jantung buatan ini adalah mereka yang berusia melebihi 60 tahun. Golongan ini lebih berisiko.

Bagaimanapun, ada pesakit yang berusia lebih muda yang menghidapi masalah blok jantung kongential juga memerlukan perentak jantung buatan ini.

Faktor-Faktor Yang Boleh Menganggu Fungsi Perentak Jantung Buatan.

Banyak peralatan di sekeliling kita yang berpotensi menggangu fungsi perentak jantung buatan ini.

Namun yang benar-benar mengganggu adalah peralatan yang digunakan dalam perindustrian seperti pengimpal, pemanas dielektrik dan relau induksi. Telefon bimbit juga boleh menyebabkan gangguan jika ia diletakkan terlalu dekat dengan tempat perentak diimplan. Selain itu, alat pengering rambut, alat kelui dan peralatan mempunyai magnet juga akan mengganggu dan ia perlu dijarakkan enam inci dari perentak agar ia selamat tanpa gangguan.

Apakah Kesan Sampingan Yang Akan Dihidapi Pesakit Selepas Memakai Perentak Jantung Buatan?

Tidak ada kesan sampingan yang akan dialami pesakit selepas memakai perentak jantung buatan. Namun pesakit perlu mengambil langkah berjaga-jaga selain menukar gaya hidup yang lebih sihat selepas memakai perentak jantung buatan.

Mungkin akan ada rasa tidak selesa kepada yang kurus kerana perentak itu akan kelihatan kerana ia dipasang di bawah kulit pesakit.

Adakah Jangka Hayat Pesakit Akan Bertambah Dengan Memakai Perentak Jantung Buatan?

Dr Ng menjelaskan perentak jantung tidak akan memanjangkan jangka hayat (umur) seseorang pesakit. Ia juga bukan alat yang boleh melewatkan kematian seseorang pesakit. Perentak ini hanya membantu jantung berdegup dengan normal sahaja.

Apakah Simptom Yang Dialami Pesakit Sekiranya Perentak Jantung Buatan Yang Diimplan Tidak Berfungsi Dengan Baik?

Pesakit tidak akan merasakan perubahan pada degupan jantungnya, maknanya, kadar denyutan jantung sebelum dan selepas diimplan adalah sama. Oleh itu, sebelum perentak diimplan, kita akan memeriksa pesakit dengan terperinci.

Bagi mengelak perentak tidak berfungsi dengan baik, pesakit perlu membuat rawatan susulan mengikut nasihat doktor iaitu sehari selepas implan, diikuti seminggu sekali, sebulan sekali, tiga bulan sekali seterusnya enam bulan sekali. Bateri perentak selalunya bertahan di antara 10 hingga 15 tahun.

Adakah Pesakit Yang Memakai Perentak Jantung Buatan Perlu Membataskan Gaya Hidup Mereka?

Pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa namun perlu ada batasnya. Seperti contoh, mereka masih boleh melakukan aktiviti fizikal namun dalam keadaan sederhana antaranya berjalan pantas, berbasikal atau aerobik. Tempoh untuk melakukan aktiviti sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 30 minit setiap hari. Mereka juga tidak digalakkan mengambil alkohol dan merokok. Elakkan tekanan, kebimbangan atau ketakutan. Mereka perlu bijak mencari jalan penyelesaian apabila berada dalam tekanan. Mereka juga perlu menjaga Indeks Jisim Tubuh (BMI) di antara 20 hingga 25.

Apakah Perbezaan Perentak Jantung Dengan ‘defibrillator’?
Perentak jantung buatan adalah untuk pesakit yang mengidapi degupan jantung terlalu perlahan manakala ‘defibrillator’ pula untuk pesakit yang mengidapi degupan jantung terlalu cepat (laju). Kedua-duanya berfungsi untuk mengembalikan degupan jantung pesakit kembali normal seperti biasa.

Kos termasuk rawatan untuk perentak jantung adalah antara RM20,000 hingga RM40,000. Bagi ‘defibrillator’ pula, antara RM50,000 hingga RM65,000. Semua kos ini tidak termasuk rawatan susulan yang perlu pesakit jalani.

Adakah Pesakit Yang Memakai Perentak Jantung Buatan Ini Tidak Lagi Memerlukan Ubat?

Pesakit masih memerlukan ubat untuk penyakit jantung mereka. Perentak jantung buatan hanya berfungsi untuk mengembalikan degupan jantung yang normal sahaja. Oleh itu, pesakit perlu mengambil ubat dan dalam masa sama, memakai perentak. Kedua-duanya (ubat dan perentak) akan membantu antara satu sama lain demi kebaikan pesakit. Perentak jantung ini bukan menggantikan ubat.