Bila isteri kuat sentap, suami mula pertikaikan. Tak faham katanya, kenapalah isteri itu kuat betul merajuk dan sentapnya. Ketahuilah wahai suami, jangan cuba cari kesalahan isteri, isteri jadi begitu bersebab.

Banyak benarnya apa yang dikongsikan Ustazah Hannan Alias ini, kenapa isteri ini sikit-sikit nak sentap dengan suaminya.

Pertanyaan suami,

Ustazah, kenapa susah sangat nak faham dengan perempuan? Sikit-sikit merajuk. Silap sikit sentap.

JAWAPAN USTAZAH;

Tak susah pun. Dan tak perlu faham pun. Cukuplah tuan penuhi keperluan emosi mereka. Penuhi keperluan zahir dan batin mereka. Konfirm tuan akan dilayan seperti raja.

Yang jadi masalah sekarang ialah, segalanya isteri tuan lakukan. Dari melahirkan anak hinggalah mencari nafkah untuk sara diri sendiri. Tuan pula bagaimana?

Tuan hanya tahu, balik kerja rumah nak kemas. Makan nak terhidang. Baju siap tergosok. Anak-anak sopan. Tak bising. Tak sepahkan rumah.

Kerana bagi tuan, tuan dah penat seharian bekerja. Kerana bagi tuan, cukup bulan barang dapur disediakan. Duit bil semua diselesaikan. Kerana bagi tuan itulah nafkah yang selayaknya buat dia sebagai isteri.

Bila isteri bising tuan kata dia membebel. Hakikatnya dia sunyi. Dia perlukan tuan untuk bercerita. Sekiranya isteri tuan suri rumah, mati kutu dia tuan-tuan. Sekiranya isteri tuan-tuan berkerjaya pula, jangan sampai suami orang lain yang penuhi tangki emosi isteri tuan-tuan.

Jika Emosi Suami Pun Tak Stabil, Macam Mana Nak Tenangkan Isteri

Bagaimana nak penuhi tangki emosi isteri. Sedangkan emosi tuan sendiri tak stabil. Emosi sendiri huru hara. Tu yang akhirnya melepaskan emosi yang tak sepatutnya kepada isteri.

Tuan ingat isteri tuan tu punch bag tuan ke??

Sebelum pukul tu, cuba bayangkan anak perempuan tuan ditumbuk sebegitu oleh suaminya. Apa yang tuan rasa? Ingat, isteri tuan ada mak ayahnya. Dia bukan anak buluh betong nak tumbuk sepak terajang sewenangnya.

Ingat, masa mula-mula nak kahwin dulu, bukan main lagi. Semut pun mati bila dengar tuan berbicara. Sekarang?

Tapi.. sekarang dia dah tak macam dulu. Malu saya ustazah.”

Kenapa malu dengan fizikal isteri sekarang? Nak dia kelihatan cantik, keluarkan duit. Bawa dia jumpa perunding cara kecantikan. Make over isteri sendiri. Jangan sibuk duk usha kecantikan isteri orang lain. Jangan sibuk kejar kecantikan yang baru.

Bukan Semata Kesalahan Isteri..

Terfikir tak dia jadi macam tu kenapa? Tuan tahu nak sedap je. Asal berhajat kira on terus. Tanpa fikir keadaan isteri tu bagaimana. Tuan kira kepuasan tuan sahaja. Tanpa pernah fikir apa yang isteri rasa.

Pernah tak tuan tanya, apakah selama tuan berkahwin dengan dia, adakah kehendak batinnya tercapai pada KPI nya? Tak pernah kan?

Tuan, cuba lah renung sejenak. Isteri itu adalah ibu kepada anak-anak tuan. Isteri itu adalah pemudah cara bagi kehidupan tuan. Di saat yang masih berbaki ini, berbuat baiklah dengan isteri tuan.

Tak perlu nak sembang lebat soal sunnah poligami jika dengan isteri pun tuan layan acuh tak acuh. Di ranjang pun pancit. Lepas tu sibuk salahkan isteri. Komplain isteri begitu isteri begini.

Isteri Sanggup Tinggalkan Mak Ayah Demi Mengikut Suaminya..

Lihatlah jauh ke dalam diri. Renung sejenak. Fikirlah tentang isteri yang sanggup tinggalkan mak ayahnya demi mengikuti tuan, suaminya. Lebih memilih untuk bersama tuan yang baru dikenalinya. Fikirlah masak-masak.

Jangan asyik nak isteri ikut kehendak tuan. Hingga tuan terlepas pandang apa kehendak isteri tuan.
Ingat, nabi adalah orang yang paling baik. Dan nabi sangat baik dengan isteri dan ahli keluarganya. Andai benar nak ikut nabi, berbuat baiklah terlebih dahulu kepada isteri.

Jelas?

Moga dapat sesuatu dari coretan ini. Jangan lupa, klik butang share agar lebih ramai yang mendapat manfaatnya.

MW : Sebab itu wahai suami.. sebelum tengok kesalahan isteri. Gali dalam-dalam apa yang kamu dah buat untuk bahagiakan hati isteri tu. Ada ke tidak?

Sumber/Foto : Hannan Alias