Kisah penghijrahan Wan Sharmila Wan Mohamed, 38 tahun, bukanlah sesuatu yang mudah. Mengenakan hijab sememangnya telah lama terpendam dalam hati, namun hatinya sentiasa berbolak-balik. Sebenarnya Wan Sharmila berhijab secara diam-diam ketika dia bercuti di Osaka Jepun pada bulan Oktober yang lalu.

Setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk bertudung iaitu selepas kematian ibunya, akhirnya impiannya tercapai setelah dia nekad untuk menutup aurat sempena ulang tahun kelahirannya pada 12 Oktober lalu.

Jelasnya, pada peringkat awal tiada sesiapa pun tahu dirinya telah berhijab. Selama ini dia hanya meminta orang sekeliling doakan dirinya untuk berubah dan tidak terhenti di situ, dia sentiasa mencuba untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

Mingguan Wanita:
Boleh ceritakan kisah penghijrahan anda? Bagaimana boleh terlintas untuk tampil bertudung?

Wan Sharmila:
Sebenarnya sudah lama saya simpan hasrat, rasanya sejak beberapa tahun yang lepas. Kalau nak diikutkan sebenar-benarnya adalah setelah kematian ibu saya.

Saya mencuba untuk pakai tudung ketika itu, tetapi orang tak tahu dan tak sedar. Kemudian apabila terikat dengan komitmen lakonan, saya tak kenakan tudung. Mungkin ketika itu saya masih belum bersedia sepenuhnya.

Tetapi bermula saat itu saya mula berjinak-jinak untuk pakai tudung dan berhijrah. Saya mula berubah sikit-sikit dari segi berpakaian. Saya juga mula suka tengok orang pakai tudung, mereka nampak cantik. Dari situ buat saya selalu berdoa untuk menjadi salah seorang daripada mereka.

IKLAN

Mingguan Wanita:
Setelah bertudung, apakah perubahan yang anda rasakan? Apakah kelebihan dan kekurangannya?

Wan Sharmila:
Perubahan yang saya nampak setelah bertudung adalah ketika saya di luar negara. Mereka akan lebih peka dengan keadaan kita apabila tiba di restoren umpamanya. Mereka dari awal akan terangkan tentang makanan sama ada halal atau tidak.

Secara tidak langsung ia menunjukkan orang luar lebih menghormati wanita yang bertudung. Perkara ini menyentuh hati saya kerana selama ini seolah-olah orang tidak hiraukan kita tatkala tidak bertudung.

Saya mula mengenakan hijab ketika berada di luar negara dan saya juga masih baru berhijab, jadi apa yang saya nampak ketika di sana apabila kita bertudung akan membataskan pergaulan kita seolah-olah ada batas dan jurang. Jadi perkara ini buatkan saya rasa istimewa. Orang akan berfikir dua kali sebelum bergaul dan berbual dengan kita kerana kita mengenakan hijab.

Berbalik kepada soal kekurangan, bagi saya tiada kekurangan apabila mengenakan hijab sebaliknya ia lebih kepada dugaan. Dugaan sebenarnya perkara yang menyukarkan kita untuk mula mengenakan tudung. Selebihnya adalah banyak kebaikan memakai tudung.

Penerimaan orang sekeliling termasuklah peminat tentang penghijrahan saya membuatkan saya cukup terharu. Saya tidak pernah mengharapkan pujian, tetapi komen-komen positif daripada peminat dan masyarakat memberikan saya motivasi.

Mingguan Wanita:
Adakah tawaran berlakon masih sama seperti dahulu sejak mengenakan hijab?

Wan Sharmila:
Alhamdulillah tawaran untuk lakonan masih sama seperti dahulu. Bertudung atau tidak, saya masih menerima tawaran untuk berlakon. Namun disebabkan saya terlalu lama dalam bidang lakonan, jadi industri kita memerlukan orang baru, jadi saya akur.

Selama ini bertudung atau tidak bukanlah pengukurnya sebaliknya industri seni kita di Malaysia sememangnya begitu. Jadi kita sebagai pelakon haruslah hadap situasi ini.

Mingguan Wanita:
Setelah lama berlakon, adakah anda mempunyai planning untuk lakukan sesuatu yang lain seperti mengarah atau terlibat dalam perniagaan?

Wan Sharmila:
Setakat ini saya tidak pernah merancang untuk mengarah drama atau terlibat di belakang tabir. Sebaliknya saya menyimpan impian untuk memiliki empayar saya sendiri dalam mengembangkan bisnes saya agar berjaya dan besar.

Mingguan Wanita:
Setelah lama membujang, adakah anda terfikir untuk menamatkan zaman solo?

Wan Sharmila:
Soal menamatkan zaman solo, saya serahkan segalanya pada Allah SWT. Mungkin juga saya juga sudah penat tunggu sebab terlalu lama, tetapi jika menunggu tanpa usaha mungkin ianya tak mendatangkan hasil.

Tetapi saya percaya dan redha, jika Allah bagi saya terima sama ada lambat atau cepat. Saya percaya dan pegang bahawa Allah akan berikan apa yang terbaik untuk saya apabila tiba masanya yang tepat dan terbaik. Buat masa sekarang saya fokus kepada bisnes saya, Aura Kasih Jamu Warisan.