Tak Menyesal Terpaksa Berpisah Kasih Demi Mencari Reda Allah

Tak menyesal walau pun terpaksa membuat keputusan yang akan merubah kehidupannya. Bukan juga kerana tiada lagi rasa sayang dan cinta. Namun, dia rela undur diri kerana tak sanggup lagi bersubahat dalam maksiat.

Perjalanan Hidup

Tiap orang pasti memiliki perjalanan hidup masing-masing. Ada yang gembira, tak kurang juga yang penuh dengan air mata dan pengorbanan. Bila dilalui, segalanya tinggal kenangan yang tetap ‘manis’ untuk dikenang.

Tiada manusia yang dapat laripada membuat silap sepanjang hidup. Yang penting, bagaimana dia tekad dan berusaha berubah untuk kembali ke jalan yang lurus. Ikuti pengakuan seorang lelaki yang mengaku, hidupnya yang suka berfoya-foya dan berhibur akhirnya ditinggalkan. Namun, dia terpaksa melepaskan wanita yang teramat dicintanya.

Perkenalan Di Kelab Malam

Kenalkan aku sebagai Arian. Perkenalanku dengan bekas isteri, Rina bermula di sebuah kelab malam. Ketika itulah kami bertukar-tukar nombor telefon. Aku sukakan Rina yang cantik dan seksi. Dia juga pandai menari.

Sejak itu beberapa kali dalam seminggu kami akan berjumpa bahkan ke pusat hiburan bersama. Bagi kami, itu cara kami nak lepaskan tekanan kerja. Lagi pun kami tak minum arak dan ambil dadah. Sekadar merokok itu biasalah.

Akhirnya kami sama-sama jatuh cinta dan dipendekkan cerita, kami berkahwin setelah dua tahun berkawan. Perkahwinan kami diadakan dengan meriah. Aku anak sulung manakala Rina anak pertama yang berkahwin kerana kakak dan abangnya masih tidak berkahwin.

Tak Menyesal Terpaksa Berpisah Kasih Demi Mencari Reda Allah

Latar Belakang

Kalau nak diikutkan, kehidupan kami yang sosial itu bukan dipengaruhi oleh keluarga kami. Aku berasal dari kampung. Mak ayah pendidik. Begitu juga ayah Rina manakala  maknya suri rumah. Keluarga kami taat dalam beragama.

Sebenarnya kehidupan kami disebabkan pengaruh rakan-rakan ketika belajar di universiti di luar negara dulu.

IKLAN

Selepas kahwin, kami masih dengan kehidupan ‘malam’ kami. Hampir saban minggu kami berkunjung ke pusat hiburan di ibu kota. Aku tak kisah bila Rina berpakaian seksi bahkan aku bangga bila ramai lelaki memuji kecantikan Rina.

Awalnya Tak Nak Cahaya Mata

Disebabkan menjaga badan, Rina memujukku untuk tidak memiliki cahaya mata dua tahun pertama berkahwin. Katanya nak ‘honeymoon’ puas-puas dan aku bersetuju.

Masuk tahun ketiga, naluriku mula membuak-buak ingin memiliki anak sendiri. Puas ku pujuk Rina dan akhirnya dia setuju. Itu pun setelah aku membelikan dia kereta idamannya yang bukan murah harganya.

Akhirnya kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel. Paling menyentuh hatiku, di saat aku diminta azan ke telinga anakku, aku terkedu dan tak mampu. Seolah-olah aku tidak tahu sedangkan waktu kecil dahulu aku pernah bergelar juara azan. Waktu itu aku sangat malu bila ayah mentua yang tolong azan.

Baca lagi artikel menarik di sini:

ISTERI Nekad Minta Cerai Sebab Suami TERLALU BAIK!

Awasi Tanda-Tanda Ini, jika Ada Anda Mungkin Di Ambang Perceraian!

Jangan lupa FOLLOW MINGGUAN WANITA di instagram dan twitter

Tak Tahu Azan

Mungkin itu teguran Tuhan pada diriku agar tidak terus hanyut. Terus terang, sudah terlalu lama dahiku tidak menyentuh sejadah. Aku juga tak pernah bimbing Rina untuk solat.

Ia menyedarkan aku bahawa aku kena berubah demi anak yang baru lahir, Que. Sejak itu, aku kembali solat walau pun teramat sukar untuk aku melawan godaan syaitan. Sepanjang tempoh Rina berpantang, aku turut berjaga malam kerana menjaga Que. Saat itulah aku ambil kesempatan untuk solat tahajud dan solat taubat. Memohon keampunan atas dosa-dosa ku yang lalu.

Berubah Demi Allah

Ternyata jiwaku makin tenang bila aku kembali dekatkan diri dengan Tuhan. Namun yang membuatkan aku sedih dan kecewa, Rina tidak pernah mendengar nasihatku untuk solat. Bila aku ajak dia berjemaah, ada saja alasannya.

Aku tak pernah minta dia memakai tudung kerana tak mahu dia berubah demi aku, tapi sebaiknya kerana Allah. Tapi aku minta dia pakai pakaian yang lebih sopan. Bukan lagi berskirt paras paha bila ke pejabat. Aku sanggup belikan seluar untuknya pakai ke pejabat. Nak tak nak, dia terpaksa ikut dengan wajah masam mencuka. Tapi bila aku tak ada di rumah, dia akan kembali memakai skirt pendek.

Tak Berubah, Tetap Dengan Perangai Lama

Tak ku sangka, dalam diam Rina masih curi peluang untuk berhibur ke kelab malam bila aku bertugas di luar daerah. Bila ku tanya, dia terangan mengaku. Bila ku tegur dan tak izinkan lagi dia keluar ke kelab, dia pula menengkingku. Katanya dia tak sanggup hidup lagi hidup dengan ‘ustaz jadian’ sepertiku. Katanya dia masih belum terbuka untuk berubah dan meninggalkan segala keseronokan.

Berbulan-bulan aku beri dia ruang untuk berubah dan kemuncaknya bila dia mula minum dengan alasan stres kerana aku asyik membebel. Ini sangat mencabar kesabaranku sebagai suami.

Tekad Lepaskan

Lantas, dengan berat hati, aku tekad untuk lepaskan dia. Aku tak sanggup menanggung dosa yang dilakukannya. Bukan aku tak cuba bimbing dia tapi aku tak mampu.

Que diletakkan di bawah jagaanku dengan izin Rina. Aku tahu, dia pun rasa keberatan untuk menjaga Que. Tak apa, aku akan sedaya upaya didik Que jadi anak yang soleh dan berguna untuk agama dan keluarga. Untuk Rina, aku masih mendoakan agar dia berubah satu hati nanti.